Ribuan penduduk dipindah akibat banjir di timur laut Brazil 


Paras air di Bahia meningkat berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.– Gambar EPA, 26 Disember, 2021.

LEBIH 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di negeri Bahia, Brazil.

Pihak berkuasa bergelut untuk membantu penduduk kerana tiada rumah alternatif bagi menempatkan mereka. 

Hujan lebat di kawasan berkenaan mengorbankan 17 orang sejak November, termasuk kematian terbaru pada Khamis, kata agensi perlindungan awam negeri itu.

Seramai 4,185 orang mencari perlindungan, menurut data yang dikeluarkan oleh agensi itu pada hari Jumaat, selepas hujan lebat melanda 19 bandar termasuk Guaratinga, Itororo dan Coaraci di selatan negeri itu.

Agensi itu melaporkan sejumlah 11,260 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Bahia dan kerajaan persekutuan melancarkan operasi bersama pada hari Sabtu, dengan kerjasama negeri lain, untuk menggerakkan kakitangan, pesawat dan peralatan, serta memberikan bantuan kepada penduduk di kawasan banjir.

“Kami bergerak sepenuhnya, mengambil semua langkah untuk memastikan sokongan yang diperlukan kepada mangsa banjir yang melanda Bahia Krismas ini,” kata gabenor negeri itu, Rui Costa, dalam mesej video.

Banjir dan sekatan lalu lintas dilaporkan di 17 jalan, dengan beberapa daripadanya disebabkan tanah runtuh, lapor setiausaha infrastruktur negeri.

Hujan pada Disember di ibu negara Bahia, Salvador berjumlah 250 milimeter (9.8 inci) hingga Jumaat, angka lima kali ganda purata sejarah, kata pegawai bandar raya itu. – AFP, 26 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen