LEBIH 11,000 orang kehilangan tempat tinggal di Bahia, Brazil akibat banjir, dengan pihak berkuasa bergegas pada Sabtu memberikan bantuan kepada penduduk.
Hujan lebat itu mengorbankan 17 orang sejak November, termasuk kematian terbaru pada Khamis, kata agensi perlindungan awam negeri itu.
Seramai 4,185 orang mendapatkan perlindungan, menurut data yang dikeluarkan oleh agensi itu pada Jumaat, selepas hujan lebat melanda 19 bandar, termasuk Guaratinga, Itororo dan Coaraci di selatan negeri itu.
Agensi melaporkan 11,260 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Bahia dan kerajaan persekutuan melancarkan operasi bersama pada Sabtu, dengan kerjasama negeri lain, untuk menggerakkan kakitangan, pesawat dan peralatan, serta memberikan bantuan kepada penduduk di kawasan banjir.
“Kami bergerak sepenuhnya, mengambil semua langkah untuk memastikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa hujan lebat yang melanda Bahia pada Krismas ini,” kata gabenor negeri itu, Rui Costa, dalam mesej video.
Banjir dan sekatan lalu lintas dilaporkan di 17 jalan, dengan beberapa disebabkan oleh tanah runtuh dan gelongsor batu, lapor setiausaha infrastruktur negeri.
Hujan pada Disember di ibu negara Bahia, Salvador berjumlah 250 milimeter hingga Jumaat, lima kali ganda daripada rekod tertinggi yang pernah dicatatkan, kata pegawai bandar raya itu. – AFP, 26 Disember, 2021.
Komen