Siap siaga hadapi cuaca lebih ekstrem 


SECARA semulajadi, iklim hutan hujan tropika seperti Malaysia terdedah kepada risiko banjir. Hutan dara yang tidak diganggu melambatkan aliran air hujan menggunakan tanah gambut semula jadi sebagai span. Mitigasi semulajadi seperti tasik, kolam, wetland dan paya air tawar akan memainkan peranan penting juga.

Tamadun manusia berkembang lebih dekat dengan sumber air dan terdedah kepada risiko banjir. Walau bagaimanapun, atas nama pembangunan, tebatan banjir semulajadi dihapuskan dan digantikan dengan kolam tadahan yang lebih kecil dan projek tebatan banjir untuk sesetengah keadaan tertentu.

Malangnya, aktiviti perladangan dan pertanian yang meliputi kawasan luas tidak tertakluk kepada keperluan ini.

Banjir yang melanda pantai barat Semenanjung Malaysia baru-baru ini menyebabkan kerosakan teruk dan kehilangan nyawa.

Apabila hujan berterusan lebih daripada 12 jam bagi kawasan yang luas, pihak berkuasa sepatutnya berada dalam keadaan berjaga-jaga. Hujan yang berterusan akan menepukan tanah dan meningkatkan air larian permukaan secara mendadak. Ini menyebabkan lebih banyak air terkumpul dalam lembangan sungai.

Pihak berkuasa perlu ingat juga bahawa semua saliran akhirnya disambungkan ke sungai dan peningkatan isipadu air ini perlu dilepaskan ke laut. Di kawasan berpenduduk padat, permukaan tanah yang kurang telap air juga meningkatkan aliran air permukaan hampir serta-merta apabila hujan turun.

Kawasan yang berlembah dan lebih dekat dengan sambungan sungai utama menjadi kawasan berisiko tinggi. Banyak pemodelan banjir dan kemarau telah dijalankan dan keadaan seperti sekarang boleh diramalkan.

Selain monsun tahunan, terdapat corak cuaca bermusim lain yang datang sekali dalam 50 tahun, 100 tahun dan sebagainya di samping keadaan el-Nino dan la-Nina yang lebih terkenal. Kita juga menghadapi parameter risiko yang tidak diketahui daripada perubahan iklim yang menjejaskan seluruh dunia.

Terdapat amaran hujan lebat bagi beberapa hari akan datang. Cahaya matahari yang terhad akan menyebabkan tanah agak tepu dan sebarang hujan lebat akan meningkatkan risiko banjir. 

Apakah tindakan segera yang perlu diambil oleh kerajaan?

(1)  Laporan simulasi banjir yang dibuat sebelum ini dan data realtime oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi lain yang berkaitan mesti digunakan untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi di samping kawasan yang terjejas sekarang.

Dengan menggunakan maklumat ini, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kecemasan mesti bersiap sedia.

Kawasan yang berpotensi berisiko tinggi adalah lebih dekat dengan sungai, tanah rendah, tanah rata dan kawasan yang sering dilanda banjir atau banjir teruk.

(2)  Hiliran kepada kawasan yang mempunyai empangan dan stesen pam banjir utama (termasuk terowong SMART) mungkin juga terjejas akibat pelepasan air dan pengepaman. Langkah berjaga-jaga dan mekanisme amaran yang betul mesti disediakan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

(3)  Pintu air dan kemudahan tebatan lain mesti dipastikan berada dalam keadaan operasi optimum. Situasi seperti Sri Muda Shah Alam tidak seharusnya berulang dan mengekang proses pemulihan.

(4) Pemantauan cerun adalah di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). Beberapa tahun yang lalu, KKR telah membangunkan pengesanan visual cerun yang akan gagal dan menghasilkan bahan komunikasi sebagai cara mudah untuk mengenal pasti potensi kegagalan cerun.

KKR harus menggunakan MySejahtera dan platform media sosial lain untuk berkongsi maklumat ini bagi menyedarkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan pantas yang boleh menyelamatkan nyawa dan memastikan jalan raya beroperasi semasa situasi kecemasan.

(5)  Kerajaan juga mesti menggunakan isyarat telekomunikasi atau telefon bimbit untuk mengenal pasti mangsa yang terperangkap jika kejadian sedemikian berulang  dan ini mesti dilakukan dengan cepat apabila telefon atau peranti masih mempunyai bateri yang berkuasa.

Kerajaan mesti melibatkan syarikat telekomunikasi untuk membantu pihak berkuasa. Begitu juga, bolehkah SKMM menggunakan amaran sms tertumpu ke zon berisiko tinggi melalui syarikat Telco?

Apabila zon berisiko tinggi dikenal pasti dan dikelompokkan di bawah kod tertentu, sms atau mesej amaran boleh dihantar melalui pengezonan isyarat berdasarkan menara syarikat telekomunikasi di zon yang dikenal pasti. Ini akan membolehkan sesiapa sahaja dalam persekitaran itu menerima mesej amaran dan butiran hubungan untuk panduan.

Corak cuaca yang tidak menentu semakin ketara dalam dekad yang lalu dan ia berlaku di seluruh dunia.

Awer ingin menggariskan beberapa penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir.

(1)  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mesti diberi kuasa penguatkuasaan untuk memastikan semua cadangan saliran dan langkah tebatan dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju dan pihak berkuasa tempatan. JPS mesti dibenarkan mengeluarkan perintah berhenti kerja (stop work order) jika berlaku sebarang ketidakpatuhan.

(2)  Projek mitigasi dibangunkan berdasarkan persekitaran sedia ada di lokasi tertentu. Jika guna tanah di kawasan itu berubah selepas projek disiapkan, projek tebatan akan gagal. Ini disebabkan oleh kemungkinan peningkatan dalam air larian permukaan melebihi kapasiti reka bentuk projek tebatan banjir. 

Oleh itu, penilaian kesan banjir yang holistik mesti dilakukan untuk mensimulasikan kesan keseluruhan setiap projek pembangunan baru dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. Ini juga mesti diletakkan sebagai sebahagian daripada kuasa penguatkuasaan JPS.

(3) Penebangan hutan dan kehilangan penampan semulajadi untuk tebatan banjir juga merupakan satu lagi faktor yang menyebabkan keadaan banjir menjadi lebih teruk setiap tahun. 

Walaupun kenyataan tahunan mengenai perlindungan modal semulajadi dikeluarkan oleh kerajaan, malangnya ia tidak menjadi kenyataan.

Oleh itu, Ketua Audit Negara mesti menyiasat kadar penebangan hutan dalam tempoh 30 tahun yang lalu dan hutan simpan dara sebenar yang tinggal. Laporan ini mesti dibentangkan kepada Parlimen pada sidang tahun hadapan.

(4)  Belanjawan berkaitan infrastruktur dan mitigasi banjir untuk tahun 2021 dan 2022 adalah lebih kurang RM 1.6 bilion. Adalah penting untuk memastikan peruntukan ini dan peruntukan masa depan tidak menjadi sia-sia.

Begitu juga, Ketua Audit Negara mesti mengaudit projek-projek tebatan banjir serta peruntukan dan perbelanjaan infrastruktur berkaitan banjir selama 30 tahun yang lalu.

Projek-projek mesti dikategorikan berdasarkan kejayaannya dalam mengurangkan kejadian banjir. Sekiranya terdapat projek yang gagal atau dinaik taraf akibat daripada kegagalan sebelumnya, sebab kegagalan tersebut hendaklah dikenal pasti dengan jelas.

Ini adalah untuk memetakan potensi risiko yang dihadapi oleh projek tebatan banjir dalam kitaran operasinya dan memastikan wang pembayar cukai digunakan dengan sewajarnya. Laporan ini juga mesti dibentangkan kepada Parlimen pada sidang tahun hadapan.

(5)  Meramalkan banjir masa depan untuk memastikan tindakan mitigasi yang betul adalah satu kemestian. Kerajaan mesti membentuk pasukan petugas khas untuk mensimulasikan cuaca tidak menentu masa lalu dan situasi banjir semasa.

Simulasi ini adalah untuk meramalkan perubahan dalam corak cuaca dan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kesan daripada perubahan iklim dan tahap gangguan (interference). 

Pasukan petugas khas ini juga mesti mengenal pasti sama ada terdapat corak perubahan yang boleh diramal. Sekiranya terdapat corak yang jelas, ia akan membantu menganggarkan rekabentuk projek tebatan dengan faktor keselamatan yang disyorkan.

Sekiranya tiada corak langsung dapat ditentukan, ia akan membawa kepada langkah mitigasi berkos tinggi serta penempatan semula zon berisiko tinggi ke lokasi baru.

Pasukan petugas ini mesti terdiri daripada pakar yang berkebolehan dan wakil daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri.

(6)  Pengoptimuman platform telekomunikasi dan digital untuk amaran dan komunikasi kepada zon terjejas. Banjir baru-baru ini menunjukkan kelemahan komunikasi pihak berkuasa kepada orang awam.

Walau bagaimanapun, komunikasi antara orang awam menggantikan platform kerajaan dan tiba dengan lebih cepat dan memberi bantuan dengan berkesan.

Justeru, agensi kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan perlu memperkemaskan komunikasi mereka bagi memastikan operasi berjalan lancar apabila bencana seperti banjir melanda negara kita.

(7)  Keselamatan dan kestabilan infrastruktur-infrastruktur seperti bangunan, jambatan, jejambat, jalan dan sebagainya mesti dilakukan secara berkala di kawasan yang kerap banjir.

Aliran air banjir yang deras boleh menyebabkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki atau dipulih. Situasi ini boleh menyebabkan malapetaka yang lebih teruk.

Cuaca yang berubah dengan perubahan iklim mungkin menjadi lebih melampau dan lebih kerap melanda negara kita. Bumi sedang menyesuaikan dirinya dan proses pelarasan ini memerlukan kita menyesuaikan diri atau kita akan pupus dalam proses ini.

Marilah kita dibimbing dengan sains dan data untuk memeta masa depan yang lebih baik. – 25 Disember, 2021.

 

* S Piarapakaran Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen