Myanmar henti operasi penyelamat lombong jed runtuh


Pasukan mencari dan menyelamat menghentikan operasi menyelamat mangsa runtuhan lombong jed haram di Hpakant, Kachin di Myanmar. – Gambar AFP, 24 Disember, 2021.

MYANMAR menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lombong jed haram yang runtuh awal pagi Rabu walaupun masih ramai mangsa dikhuatiri terperangkap.

Jumlah kematian susulan tragedi itu meningkat kepada enam mangsa manakala puluhan lagi masih hilang setakat ini.

Anggota pasukan SAR, Ko Jack berkata, pihak berkuasa menganggarkan sekurang-kurangnya 70 orang masih belum ditemui selepas anggota SAR menghentikan operasi.

“Kami terpaksa menghentikan operasi SAR pada jam 4.30 petang selepas dua lagi mayat ditemui hari ini, menjadikan angka korban meningkat kepada enam,” katanya.

Menurut beliau, pasukannya tidak dapat melaksanakan operasi menyelam selepas mendapati mayat mangsa yang masih belum ditemui dikhuatiri tertimbus di bawah dasar tasik.

Ditanya jumlah sebenar pelombong yang bekerja di lombong itu, pihak berkuasa tidak dapat menentukan jumlah sebenar kerana keluarga mangsa enggan mendedahkannya.

Ini kerana ahli keluarga mereka bekerja di situ secara haram manakala mangsa yang terselamat enggan memberi kerjasama.

Pasukan penyelamat memaklumkan tekanan daripada sisa runtuhan menyebabkan ia runtuh jauh ke dalam tasik berhampiran. – AFP, 24 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen