Pengunjung tetap hemah berbelanja walau pusat beli-belah meriah


Noel Achariam

Orang ramai mula membanjiri pusat beli-belah susulan aktiviti rentas negeri dan sosial dibenarkan sejak Oktober. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Disember, 2021.

PUSAT beli-belah begitu meriah sempena sambutan perayaan Krismas esok, dipenuhi pengunjung selepas lama berkurung susulan sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Orang ramai mula membanjiri pusat beli-belah susulan aktiviti rentas negeri dan sosial dibenarkan sejak Oktober, dan jumlah pengunjung menghampiri paras sebelum pandemik.

Rata-rata bagaimanapun masih berhati-hati ketika berbelanja ketika pandemik masih belum reda.

Perunding muzik Joshua Devaratnam, 34, berkata beliau kini gembira selepas lama terkurung di rumah kerana sekatan pergerakan.

“Tetapi, pada masa yang sama saya juga perlu lebih peka dengan nasib orang lain.

“Tahun ini saya fokus saya adalah untuk membantu orang yang kurang bernasib baik, yang terjejas terkesan akibat pandemik. Saya tak mahu boros,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perunding muzik Joshua Devaratnam. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

Menurut Joshua, bagi sambutan Krismas tahun ini beliau lebih berhemah ketika berbelanja untuk membeli hadiah.

“Saya beli hadiah yang praktikal, yang boleh digunakan untuk seisi keluarga,” katanya, menambah beliau kurang gemar membeli-belah dalam talian.

“Ada juga barang yang saya beli dalam talian. Tapi, saya lebih suka beli di pusat beli-belah misalnya, baju. Saya boleh cuba dulu sebelum beli. Selain itu, saya sukakan dekorasi di pusat beli-belah.”

Joshua bagaimanapun berkata selain pandemik Covid-19, sambutan Krismas juga berbeza kali ini ekoran bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Bagi eksekutif bank Ginny Ngai, 26, beliau mungkin berbelanja lebih sedikit tahun ini untuk menyambut Krismas.

Eksekutif bank Ginny Ngai. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

“Sebelum ini banyak shopping dalam talian, tetapi sekarang dah boleh kunjung pusat beli-belah. Bagaimanapun, kedua-dua cara ini memberi saya banyak pilihan.

“Tetapi saya masih lagi bimbang untuk keluar selalu. Kita juga masih perlu sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Berkenaan sambutan Krismas tahun ini, Ngai berkata beliau dan keluarga hanya menyambut secara sederhana sahaja.

“Mungkin majlis kecil sahaja, sambut bersama keluarga dan rakan-rakan rapat.” – 24 Disember, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen