ILMUWAN terkenal Islam Tariq Ramadan akan dihadapkan kepada majistret penyiasat Perancis hari ini selepas dua hari disoal siasat berkaitan dakwaan dua wanita yang dia merogol mereka di bilik hotel di Perancis pada 2009 dan 2012.
Hakim mungkin akan mengenakan dakwaan rasmi ke atas profesor Oxford berusia 55 tahun itu, kata sumber kehakiman kepada AFP.
Ramadan, seorang warganegara Switzerland merupakan cucu pengasas Muslim Brotherhood Mesir ditahan pada Rabu lalu dalam siasatan awal di Paris berkaitan dakwaan rogol dan serangan seksual.
Dia yang kerap muncul di media Perancis adalah tokoh paling terkenal di negara itu yang ditahan berkaitan dakwaan serangan dan gangguan seksual hasil gelombang kempen “Me Too” yang melanda dunia kini.
Ramadan menafikan dakwaan kedua-dua wanita berkenaan.
Wanita pertama yang membuat tuduhan ialah Henda Ayari, seorang aktivis feminis. Dia didakwa dirogol dalam sebuah buku yang diterbitkan pada 2016, tetapi tidak menamakan penyerangnya.
Tetapi Oktober lalu, dia memutuskan menamakan Ramadan secara terbuka sebagai orang yang merogolnya susulan kempen “Me Too”.
Katanya, Ramadan merogolnya di dalam bilik hotel lelaki itu dan memberitahu akhbar Le Parisien: “Dia cekik saya terlalu kuat sampai saya rasa saya akan mati.”
Dia kemudian membuat laporan polis mengenai rogol itu pada 20 Oktober, menamakan Ramadan sebagai penyerangnya.
Beberapa hari selepas itu, seorang wanita kelainan upaya turut menuduh ahli akademik terkenal itu merogolnya di sebuah bilik hotel di bandar Lyon pada 2009.
Majalah Vanity Fair yang menemubual wanita itu berkata keterangannya terhadap Ramadan digambarkan dengan penuh teliti termasuklah “tumbukan ke atas badan dan muka, liwat secara paksa, rogol dengan objek dan pelbagai penghinaan lain, termasuk diheret ke bilik air dan dikencing.”
Sepanjang tiga jam memberi keterangan di Paris pada Khamis lepas, wanita itu- yang menggunakan nama samara “Christine”- menceritakan kembali apa yang berlaku kepada hakim. Ramadan turut menghadiri sesi itu.
Bagaimanapun, Ramadan enggan menandatangani rumusan keterangan yang disediakan oleh pihak berkuasa, kata sumber yang mengetahui siasatan itu.
Sepanjang tiga bulan siasatan selepas dakwaan itu timbul, polis menemubual ramai orang yang rapat dengan Ramadan dan kedua-dua wanita itu, serta menilai kandungan email serta mesej media sosial antara mereka.
Pada November, Universiti Oxford mengatakan Ramadan mengambil cuti daripada kerjanya sebagai profesor kajian Islam berdasarkan “perjanjian bersama”.
Ramadan juga menafikan dakwaan dilaporkan akhbar Switzerland melibatkan hubungannya dengan gadis bawah umur pada tahun 1980-an hingga 1990-an, mendakwa laporan itu sebagai kempen penipuan dilancarkan musuhnya.
Peguam kepada Ramadan menuduh Ayari memfitnah dan mengatakan kedua-dua wanita itu berpakat untuk mencemarkan imej salah seorang ilmuwan Islam paling terkenal di dunia pada masa kini itu.
Dakwaan serangan seksual itu menimbulkan perbincangan hangat antara penyokong Ramadan- dia mempunyai lebih dua juta pengikut di Facebook- dan penyokong wanita tersebut.
Ayari diletakkan di bawah perlindungan polis pada November selepas menerima ugutan bunuh.
Ramadan masih lagi menerajui Islamic Institute for Ethical Training di Perancis. – AFP, 2 Febuari, 2018.
Komen