Kelab selamatkan mangsa banjir kaki empat


Ada pemilik yang terpaksa meninggalkan kucing mereka kerana paras air naik mendadak, menyebabkan mereka menghubungi SKJP untuk bantuan mengeluarkan haiwan itu. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2021.

NAIK turun bot, meredah banjir separas pinggang dalam hujan dan menumpang kenderaan menjadi pengalaman ahli Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) dalam misi menyelamat mangsa banjir berkaki empat itu.

Pengerusinya Jurina Abdul Rani, berkata setakat ini, mereka berjaya menyelamatkan 86 ekor kucing termasuk 26 kucing jalanan yang ditempatkan di rumah salah seorang ahli di Indera Sempurna di Kuantan.

Manakala bakinya diselamatkan di sekitar Bukit Rangin, membabitkan kucing yang terpaksa ditinggalkan pemiliknya apabila mereka perlu berpindah segera kerana paras air naik mendadak, menyebabkan mereka menghubungi SKJP untuk bantuan mengeluarkan haiwan itu.

“Kami cuba menyelamatkan sebanyak mana (kucing) yang boleh, namun kami juga menghadapi kekangan tenaga kerana ramai ahli turut menjadi mangsa banjir selain tiada aset sesuai sehingga terpaksa meminjam bot atau menumpang lori untuk masuk ke kawasan tidak boleh diredah.

“Kami juga mendapat bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang menyediakan kenderaan pacuan empat roda untuk memudahkan kami membawa keluar kucing yang diselamatkan termasuk kucing jalanan untuk ditempatkan di rumah ahli SKJP yang tidak terbabit banjir,” katanya ketika dihubungi.

Operasi menyelamat kucing, menurut Jurina, 49, perlu dilakukan sepantas boleh kerana mereka tidak boleh meneruskan “misi” selepas jam 7 malam kerana keselamatan ahli diutamakan apabila keadaan mulai gelap disebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan banjir.

Selain masalah kenderaan, mereka juga berdepan kekangan ketiadaan sangkar untuk membawa haiwan itu, namun selepas dihebahkan, SKJP mula menerima panggilan daripada pemilik kucing yang tidak terjejas bencana yang mahu meminjamkan sangkar milik mereka.

Selain mengeluarkan kucing terperangkap banjir, SKJP juga meronda di kawasan banjir bagi memberi makan kucing yang terselamat dengan meletakkan makanan di kawasan tinggi yang boleh dipanjat haiwan itu atau menerusi tingkap di rumah yang dimaklumkan oleh pemilik haiwan yang berada di PPS.

Berkongsi pengalaman, Jurinah berkata, pemilik kucing dinasihatkan membuka sangkar dan melepaskan haiwan itu dalam rumah dengan menyediakan makanan di kawasan tinggi kerana ia meningkatkan peratusan haiwan itu menyelamatkan diri apabila paras air meningkat.

“Tapi kami faham paras air yang naik mendadak menyebabkan ada yang tidak dapat berbuat demikian… malah di Indera Sempurna juga, tiga ekor kucing sudah keras (mati) apabila kami sampai di sana. Kami tidak dapat menahan diri dan menangis sepanjang membawa keluar kucing itu untuk ditanam,” katanya.

Simpati dengan nasib kucing peliharaan juga menyebabkan suri rumah Azrina Azhar, 29, menawarkan diri untuk menjaga kucing mangsa banjir yang berpindah ke PPS secara percuma bagi mengurangkan beban yang terpaksa dilalui pemilik haiwan itu.

Bagi memudahkan mangsa banjir, beliau dan suami menempuh perjalanan sejauh 25 kilometer sehala dari rumahnya di Gambang Damai ke Jaya Gading untuk mengambil kucing itu, juga tanpa sebarang bayaran, yang mana dalam tempoh dua hari sahaja, mereka menjaga lima ekor kucing.

“Saya tergerak hati untuk membantu selepas terfikir nasib kucing… biasanya pemilik akan menghantar kucing ke hotel kucing tapi untuk kali ini, saya fikir tak ramai sempat berbuat demikian kerana banjir tidak diduga selain berlaku begitu pantas,” katanya.

Azrina yang memuat naik status sudi menjaga kucing mangsa banjir di Facebook pada Ahad, turut menyatakan kesediaan menyediakan makanan dan pasir jika pemiliknya tidak sempat mencapai barangan itu dalam kesibukan menyelamatkan diri.

Pertolongan kecil itu, menurut Azrina diharap dapat membantu mengurangkan kematian kucing kerana beliau kerap membaca mangsa banjir yang pulang ke rumah menjumpai kucing mereka mati atau dalam keadaan kelaparan, dan sebagai pemilik dua kucing, beliau memahami perasaan itu.

“Ada yang tanya sampai bila saya boleh menjaga kucing itu dan saya kata hingga mereka benar-benar sedia untuk mengambil semula kucing kerana sudah pasti banyak kerja yang perlu dilakukan selepas banjir surut. Sekurang-kurangnya kucing mereka dalam jagaan baik,” katanya. – Bernama, 24 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen