YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar siasatan kejadian tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di Kuala Lumpur dapat dilakukan secepat mungkin.
Seri Paduka bertitah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memberikan penjelasan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk yang terjejas ke flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin.
“Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa tanah runtuh. Saya amat simpati dengan penghuni Kampung Sungai Penchala ini,” titah Al-Sultan Abdullah selepas menyantuni 136 mangsa tanah runtuh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka sekitar jam 2 petang disambut Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.
Pada Ahad, seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dengan 24 rumah musnah sepenuhnya.
Sementara itu, Seri Paduka menitahkan agar semua pihak termasuk dirinya, individu perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, agensi kerajaan dan kerajaan tampil membantu mangsa yang terbabit dengan bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda negara sejak Jumaat lalu.
“Apa yang saya boleh nyatakan ialah amat sedih dan simpati. Namun kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar. Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian nanti,” titahnya.
Seri Paduka meluangkan masa kira-kira sejam, mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.
Terdahulu, Seri Paduka memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara dalam perjalanan ke pusat pemindahan. – Bernama, 24 Disember, 2021.
Komen