BADAN bukan kerajaan, agensi dan sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir di Selangor perlu memaklumkan kehadiran mereka kepada kerajaan negeri, menurut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Beliau berkata, tindakan itu memudahkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri mengkoordinasi pergerakan sukarelawan dan seterusnya menumpukan kawasan yang lebih memerlukan bantuan.
“Saya jangkakan menjelang perayaan Krismas menjelang hujung minggu ini, jumlah kehadiran (sukarelawan) akan lebih ramai, saya perlu melihat bagaimana koordinasi dapat dibuat.
“Bukan ingin menghalang (bantuan dan sukarelawan) tetapi mengelakkan sebarang pembaziran tenaga dan kerja, kerana penumpuan yang kurang di satu tempat tapi terlebih tumpu di satu tempat yang lain,” katanya hari ini.
Amirudin berkata, pihaknya mendapati kesesakan luar biasa berlaku di Hulu Langat semalam berikutan pergerakan masuk sejumlah besar petugas dan sukarelawan dari luar.
Oleh itu, beliau mengarahkan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor Mohd Khairuddin Othman dan Pegawai Daerah Hulu Langat untuk berjumpa dengan pihak terbabit bagi membantu koordinasi serta mengelakkan kesesakan dan ketidakselesaan di beberapa lokaliti.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri itu menubuhkan Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor bagi menyelaras semua bantuan dan tenaga kerja sukarelawan yang ingin membantu misi bantuan bencana banjir di kawasan terbabit. – Bernama, 24 Disember, 2021.
Komen