PROSPEK hubungan Asean-China akan menjadi lebih cerah tahun depan apabila kedua-duanya memperkasakan lagi kerjasama dalam bidang lebih luas, kata penasihat kanan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia, Dr Ei Sun Oh.
Mengulas mengenai landskap dunia serta kerjasama Asean-China pada 2022 dalam artikelnya, beliau berpendapat walaupun penularan pandemik Covid-19 membawa impak besar kepada ekonomi dan kesihatan awam global, namun ia turut mewujudkan lebih banyak peluang.
Menurutnya, terdapat potensi besar dalam kerjasama Asean-China membabitkan empat aspek utama iaitu pendidikan, pelancongan, keusahawanan dan pembangunan mampan.
Mengenai bidang pendidikan, Dr Oh berharap institusi pengajian tinggi (IPT) kedua-dua pihak akan saling membuka cawangan bagi merancakkan lagi kerjasama pendidikan serta interaksi dalam kalangan pelajar.
“Ramai pelajar di Asia Tenggara berharap mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di IPT China. Sementara, pelajar China juga dialu-alukan datang belajar di negara Asia Tenggara. Sebagai contoh, Universiti Xiamen kini mempunyai kampus yang fasilitinya cukup sempurna di Malaysia,” kata beliau.
Mengenai kerjasama pelancongan yang turut terkena tempias susulan pandemik, beliau menyarankan supaya kedua-dua pihak bersedia dalam pembukaan semula aktiviti rentas sempadan, termasuk perkhidmatan penerbangan terus antara bandar utama serta pelayaran antara pelabuhan utama serantau.
Selain itu, katanya trend keusahawanan pada tahun kebelakangan ini menyaksikan semakin ramai belia serantau mempunyai kecenderungan untuk menceburi industri kreatif.
“Jika berpeluang berkongsi idea dan bekerjasama, bakat dan kebolehan mereka akan terus dicungkil dan dioptimumkan.
“Justeru, perlu untuk menyediakan lebih banyak platform interaksi sama ada secara fizikal, mahupun secara dalam talian bagi merancakkan perkongsian dalam usaha inovasi dan keusahawanan,” jelas Dr Oh.
Selain itu, beliau menganggap pembangunan hijau perlu dijadikan asas kepada kerjasama serantau serta pertukaran dalam kalangan rakyat bagi memastikan pembangunan mampan dapat direalisasikan.
“Kerjasama dalam perlindungan alam sekitar perlu dipergiat bagi menangani perubahan iklim global. Pada masa sama, pembangunan yang konsisten hendaklah terus dipacu demi kebaikan dan kemakmuran bersama,” katanya. – Bernama, 24 Disember, 2021.
Komen