SEKURANG-KURANGNYA 32 maut apabila sebuah feri yang sarat penumpang terbakar di selatan Bangladesh hari ini, kata polis.
Insiden berlaku awal pagi tadi ketika feri dengan 500 penumpang itu terbakar berhampiran pekan Jhalokathi, kira-kira 250 km di selatan Dhaka.
“Feri tiga tingkat, Obhijan 10, terbakar di tengah-tengah sungai. Setakat ini, kami menemui 32 mayat, namun angka korban dijangka meningkat.
“Kebanyakan mangsa maut akibat kebakaran, manakala beberapa lagi lemas selepas terjun ke dalam sungai ketika kejadian,” kata ketua polis tempatan, Moinul Islam.
Islam berkata kejadian dipercayai berpunca daripada api tercetus di dalam bilik enjin sebelum merebak ke seluruh feri itu yang membawa penumpang dari Dhaka.
“Kami menghantar kira-kira 100 mangsa yang melecur ke hospital di Barisal,” katanya.
Ia nahas terkini dalam pelbagai insiden seumpama yang dilaporkan di negara memiliki banyak sungai itu.
Pakar di negara Asia Selatan dengan kepadatan penduduk 170 juta orang menyalahkan kelemahan penyelenggaraan, standard keselamatan yang longgar di pelaburan, serta membawa penumpang berlebihan sebagai antara punca utama kejadian seumpama itu.
Ogos lalu, 21 maut apabila sebuah bot sarat penumpang, berlanggar dengan kapal kargo dipenuhi muatan pasir di sebuah tasik di timur Bangladesh. – APF, 24 Disember, 2021.
Komen