PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) meluluskan pengunaan pil antivirus keluaran syarikat farmaseutikal Merck untuk rawatan Covid-19 yang ringan hingga sederhana.
Ia pil kedua yang diluluskan untuk merawat Covid-19 selepas pil keluaran Pfizer, lapor Xinhua.
Pil dikenali molnupiravir, dibenarkan untuk digunakan kepada orang dewasa dengan keputusan positif ujian virus SARS-CoV-2 dan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan lebih teruk termasuk kemasukan ke hospital atau kematian.
Molnupiravir hanya boleh didapati melalui preskripsi dan harus dimulakan secepat mungkin selepas diagnosis Covid-19 dan dalam tempoh lima hari selepas mempunyai simptom, menurut FDA.
Pada Rabu, FDA meluluskan pil antivirus Paxlovid Pfizer, pil pertama yang diluluskan untuk rawatan Covid-19 di negara ini. – Bernama, 24 Disember, 2021.
Komen