PKR gesa sidang khas Parlimen bahas isu banjir


Bencana banjir baru-baru ini mengorbankan 37 orang dan lebih 61,000 orang kehilangan tempat tinggal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

PUTRAJAYA perlu mengadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan punca yang membawa kepada banjir besar di negara ini, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kerosakan berkaitan banjir paling teruk di Pahang, Negeri Sembilan dan Lembah Klang, sambil menambah hujan tanpa henti mengakibatkan banjir dan tanah runtuh adalah amaran yang perubahan iklim adalah benar.

“Saya menggesa sidang Parlimen khas untuk membincangkan isu berkaitan banjir dan kesiapsiagaan kerajaan demi kepentingan ahli Keluarga Malaysia yang terjejas teruk.”

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata penyelarasan yang lemah di kalangan pihak berkuasa menyebabkan tindak balas bencana yang lemah, dan ini perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak berkepentingan.

Kesan banjir melampaui jangkaan pakar dan kerajaan persekutuan, tambahnya.

“Melihat lumpur yang mengalir, ternyata bukit kita semakin terhakis dan sungai kita semakin cetek; semua ini disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal.”

Percubaan membincangkan isu banjir gagal di Dewan Rakyat, yang ditangguhkan untuk tahun ini pada Isnin.

Speaker Azhar Azizan Harun memutuskan Parlimen tidak boleh membahaskan bencana itu kerana tiada usul dibentangkan mengenainya.

Setakat ini, banjir mengorbankan 37 orang dan lebih 61,000 orang kehilangan tempat tinggal, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh negara. Pahang dan Selangor mempunyai jumlah pemindahan tertinggi.

Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dikritik kerana usaha bantuan banjir yang perlahan.

Usaha pembersihan dan menyelamat sedang giat dijalankan. – 24 Disember, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen