Peniaga lega pusat beli-belah kembali terima trafik tinggi


Noel Achariam

Trafik pengunjung ke pusat membeli-belah utama sangat menggalakkan sejak ia dibenarkan beroperasi dan rentas negeri dibenarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

PUSAT beli-belah mula menyaksikan perniagaan yang pesat beberapa bulan kebelakangan ini selepas dihambat pandemik Covid-19 tahun ini, kata Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia.

Ini terbukti dengan ribuan pengunjung memenuhi pusat beli-belah, terutamanya semasa cuti dan perayaan Krismas.

Malah banjir di beberapa negeri baru-baru ini tidak memberi kesan besar di pusat membeli-belah utama.

Presiden Persatuan Pusat Beli Belah Malaysia, Teo Chiang Kok berkata trafik pengunjung ke pusat membeli-belah utama sangat menggalakkan sejak mereka dibenarkan beroperasi dan rentas negeri dibenarkan.

“Ia bertambah baik setiap minggu. Buat masa ini, purata di seluruh negara ialah 50 hingga 60% (pegunjung) tetapi terdapat beberapa pusat membeli-belah di Lembah Klang yang menyaksikan kenaikan 80 hingga 90% pembeli kembali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi perayaan beliau berkata semasa situasi biasa sebelum pandemik, perayaan akhir tahun dari Krismas hingga Tahun Baharu Cina adalah tempoh kemuncak, selepas itu ia akan menjadi musim luar puncak.

“Selain wabak pandemik yang tidak diingini, kami percaya corak yang sama seperti pra-pandemik akan kembali.

“Ia akan mengambil sedikit masa bagi pusat membeli-belah pulih selepas kedai mereka terpaksa ditutup untuk tempoh yang panjang dan berselang-seli selama lebih 19 bulan.”

Mengenai pembeli yang beralih kepada pembelian secara dalam talian, Teo berkata wabak itu sememangnya menyebabkan pengguna terpaksa membuat pembelian dalam talian tetapi ini tidak boleh dibandingkan dengan membeli-belah di kedai.

Pengarah Urusan Retail Group Malaysia Tan Hai Hsin berkata peruncit berharap jualan akan meningkat lebih tinggi pada Disember tahun ini susulan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan positif itu juga disebabkan penarikan larangan perjalanan rentas negeri pada 11 Oktober, selepas 90% populasi dewasa diberi vaksin sepenuhnya.

“Pelancongan domestik membawa lebih banyak jualan kepada peruncit yang selama ini bergantung kepada perbelanjaan pelancongan.

“Rakyat Malaysia dari seluruh negara melancong untuk membeli-belah, perjumpaan keluarga dan pertemuan. Jelas sekali pusat membeli-belah menyaksikan peningkatan pengunjung.”

Beliau berkata trafik di pusat membeli-belah mula meningkat sejak Ogos tahun ini dan dalam tempoh tiga bulan terakhir, trafik kembali di semua pusat beli-belah utama di seluruh negara.

“Pusat beli-belah utama dipenuhi pembeli dan pengunjung. Kesesakan trafik di dalam tempat letak kereta pusat beli-belah sudah kembali.

“Bagi pusat beli-belah utama seperti Mid Valley Megamall, Suria KLCC, Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, IOI City Mall dan lain-lain, trafik membeli-belah mereka kembali ke tahap pra-pandemik.”

Beliau juga berkata mereka menyaksikan jumlah penutupan yang tinggi sejurus selepas perintakan kawalan pergerakan (PKP) pertama berakhir pada Mei 2020.

“Pusingan penutupan kali kedua lebih besar selepas moratorium bank berakhir pada Oktober 2020. Pusingan ketiga adalah semasa PKP kedua pada 2021. Gelombang penutupan terkini bermula selepas PKP 3.0 dan berakhir pada Ogos 2021.

“Walaupun banyak penutupan semasa pandemik Covid-19, individu dan syarikat Malaysia masih melabur dalam kedai makanan dan minuman baharu termasuk kafe, restoran, gerai, kiosk dan trak makanan.”

Tan menambah wabak memaksa banyak peniaga memberi perhatian kepada pendigitalan perniagaan mereka yang lebih meluas.

“Beli-belah dalam talian menjadi satu lagi saluran utama pengedaran barangan dan perkhidmatan runcit di Malaysia.

“Hari ini, banyak peniaga di pusat beli-belah mempunyai platform membeli-belah dalam talian mereka sendiri. Oleh itu, pembeli mereka boleh membeli secara dalam talian dan menghantar ke rumah, atau membeli dalam talian dan mengambilnya di kedai.”

Beliau berkata pembelian runcit dalam talian tidak akan menggantikan kedai fizikal selepas wabak ini berakhir.

“Realiti sekarang menunjukkan kepada kita apabila PKP ditarik balik, pembeli kembali ke kedai fizikal dan pengunjung berkumpul di kafe dan restoran.”  – 24 Disember, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen