Ecuador wajibkan vaksin Covid-19 dari usia 5 tahun


Ecuador wajibkan vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia seawal lima tahun, susulan kebimbangan penularan varian Omicron. – Gambar EPA, 23 Disember, 2021.

ECUADOR menjadi negara pertama di dunia yang mewajibkan vaksin Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia seawal lima tahun, susulan kebimbangan penularan varian Omicron.

“Di Ecuador, vaksinasi Covid-19 diisytiharkan sebagai wajib.

“Langkah mewajibkan pengambilan vaksin ini terpakai kepada individu berusia lima tahun dan ke atas,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kementerian berkata individu yang tidak dapat mengambil suntikan vaksin atas sebab perubatan, akan diberikan pengecualian.

Katanya, keputusan itu selaras dengan Perlembagaan Ecuador yang menggariskan hak terhadap kesihatan perlu dijamin negara.

Bagi mengekang penularan varian Omicron yang mula dikesan minggu lalu, Ecuador turut menetapkan rekod vaksinasi sebagai syarat wajib untuk masuk restoran, pusat beli-belah, pawagam, teater dan pelbagai tempat awam lain.

Setakat ini, kira-kira 69% daripada keseluruhan 17.7 juta populasi Ecuador menerima suntikan dua dos vaksin itu dan 900,000 memperoleh dos penggalak.

Semua individu berusia lima tahun ke atas layak menerima suntikan pelalian Covid-19.

Negara di Amerika Selatan ini merekodkan hampir 540,000 jangkitan dengan 33,600 kematian akibat Covid-19 setakat ini. – AFP, 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen