Enggan pakai pelitup muka, wanita mengaku salah serang pramugari


SEORANG wanita California mengaku bersalah menumbuk seorang pramugari di muka – menyebabkan lebam dan tiga giginya patah – ketika perbalahan berkenaan pemakaian topeng pelitup muka dan syarat keselamatan udara yang lain.

Vyvianna Quinonez, 28, penduduk Sacramento, pada awalnya mendakwa beliau bertindak demikian sebagai mempertahankan dirinya, sebelum menerima pertuduhan “mengganggu” penerbangan, yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda AS$250,000.

Insiden itu berlaku pada 23 Mei, ketika penerbangan Southwest mula untuk mendarat di Sacramento, menurut perjanjian rayuan.

Pramugari terbabit meminta Quinonez memasang tali pinggang keledar, memasukkan dulang mejanya dan memakai topeng pelitup muka dengan betul supaya ia menutup mulut dan hidungnya.

Quinonez kemudian menolak pramugari terbabit dan mula menumbuk muka mangsa dan kepala serta menarik rambutnya.

Menurut dokumen mahkamah, beliau kemudian memberitahu pegawai polis yang datang untuk menahannya, itu hanya tindakan mempertahankan diri.

Dakwaan itu dipatahkan dengan rakaman video oleh penumpang lain.

“Pramugari terbabit diserang hanya kerana beliau melakukan tugasnya iaitu memastikan keselamatan semua penumpang di dalam pesawat,” kata pendakwa Randy Grossman.

Quinonez diharamkan menaiki pesawat selama tiga tahun. – AFP, 24 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen