PBB mulakan kempen bantuan AS$6.5 juta mangsa Taufan Rai di Filipina


Taufan Rai memusnahkan banyak kawasan di Filipina, dengan sekurang-kurang 375 mangsa dilaporkan maut, terutama di selatan dan tengah negara itu. – Gambar EPA, 24 Disember, 2021.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan melancarkan kempen hari ini bagi mengutip dana AS$6.5 juta untuk membantu mangsa Taufan Rai yang membadai Filipina minggu lalu.

Koordinator Residen PBB di Filipina Gustavo Gonzalez berkata kempen itu akan dilancarkan pada peringkat tempatan bersama wakil komuniti antarabangsa di Manila.

“Ia menggariskan keperluan kemanusiaan dan perancangan utama. Permintaan kewangan ialah AS$6.5 juta,” katanya pada sidang media maya, semalam.

Kutipan dana itu disasarkan bagi membantu 530,000 mangsa di kawasan paling terkesan dengan taufan itu, yang dalam keperluan amat mendesak kepada akses air minuman, logistik kesihatan dan kemudahan sanitasi.

“Terdapat momentum untuk sokongan penuh. Cabaran pada masa ini ialah menterjemahkan segala pengumuman dan solidariti ini kepada tindakan kukuh dengan pantas,” katanya.

Taufan Rai yang sangat kuat memusnahkan banyak kawasan di Filipina, dengan sekurang-kurang 375 mangsa dilaporkan maut, terutama di selatan dan tengah negara itu. – AFP, 24 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen