PIHAK berkuasa Albania melancarkan siasatan terhadap kebocoran maklumat peribadi secara besar-besaran, di mana mangsa termasuk presiden dan perdana menteri negara itu.
Berdasarkan dokumen, maklumat peribadi Perdana Menteri Edi Rama dan Presiden Ilir Meta antara yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp serta pelbagai platform digital lain mulai kelmarin.
Maklumat peribadi yang bocor itu termasuk nombor kad pengenalan, nama majikan, pendapatan bulanan dan nombor telefon.
Media tempatan menganggarkan hampir 700,000 individu termasuk penjawat awam, tentera dan pegawai perisik, pekerja bank serta wartawan, terjejas dengan insiden berkenaan.
“Pendakwa raya sudah membuka siasatan,” kata pihak berkuasa yang mengendalikan pendakwaan di ibu kota Albania ini, dalam satu kenyataan.
Media tempatan melaporkan polis merampas beberapa sistem pelayan di lokasi tertentu, termasuk membabitkan pihak berkuasa percukaian dan pejabat insurans sosial kebangsaan.
Sementara itu, Rama berkata kebocoran maklumat berkenaan disyaki didalangi “orang dalam” yang mempunyai akses kepada pangkalan data utama.
Pada sidang media semalam, beliau turut memohon maaf kepada mereka yang terjejas dengan insiden itu dan berjanji siasatan menyeluruh akan dijalankan.
Katanya, dipercayai matlamat utama pelaku ialah untuk mencetuskan kekeliruan dan mengancam kestabilan.
Insiden itu yang kedua seumpamanya pada tahun ini di negara Balkan itu, selepas turut berlaku beberapa hari sebelum Pilihan Raya Parlimen pada April lalu. – AFP, 24 Disember, 2021.
Komen