SERAMAI 55 penumpang kapal persiaran Royal Caribbean International yang berlayar pada Sabtu dari Florida, Amerika Syarikat (AS) didapati positif Covid-19, kata syariakt itu.
Jangkitan di kapal “Odyssey of the Seas” itu membabitkan penumpang dan anak kapal, walaupun 95% penumpang sudah divaksin, kata Royal Caribbean.
Susulan itu, kapal berkenaan tidak berlabuh di kepulauan Caribbean di Curacao dan Aruba, walaupun ia adalah hentian terakhir yang dijadualkan dalam pelayaran lapan hari itu.
Ia akan kekal berada di lautan hingga ia kembali ke Fort Lauderdale, Florida pada 26 Disember.
Odyssey membawa 3,587 penumpang dan 1,599 anak kapal, menurut akhbar USA Today.
Syarikat perkapalan itu berkata semua 55 individu yang dijangkiti Covid-19 sudah divaksin dan tidak bergejala atau mengalami gejala ringan.
Kontak rapat mereka sudah dikuarantin 24 jam sebelum menjalani saringan.
Ini kali kedua jangkitan berlaku di dalam kapal persiaran Royal Caribbean dalam tempoh kurang seminggu.
Sabtu lalu, “Symphony of the Seas” kembali ke pelabuhan Miami dengan 48 pesakit Covid-19 selepas tujuh hari pelayaran di Caribbean. – AFP, 24 Disember, 2021.
Komen