Selepas dibadai Covid-19, kini banjir pula, kata pengusaha kedai kopi


Angie Tan

Baru hendak pulih daripada kesan pandemik Covid-19, pengusaha kedai kopi di Selangor dan Kuala Lumpur terpaksa pula tanggung kerugian besar akibat bencana banjir susulan hujan berterusan sejak Jumaat minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2021.

BELUM pun pulih daripada kesan pandemik Covid-19, pengusaha kedai kopi di Selangor terpaksa pula menanggung kerugian besar akibat bencana banjir susulan hujan berterusan sejak Jumaat minggu lepas.

Ringkasnya, musibah datang bertimpa-timpa dalam tempoh dua tahun, kata dua persatuan yang ditemu bual The Malaysian Insight.

Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Kopi, Teh dan Restoran Klang dan Pantai Selangor, Lim Beng Hock berkata mereka belum pasti bila kedai kopi di kawasan yang dilanda banjir akan beroperasi semula.

Kira-kira 200 ahli persatuan itu sedang menilai kerugian yang ditanggung akibat bencana banjir, dan langkah bagi membantu meringankan beban mereka sedang diusahakan, kata Lim.

“Mula-mula pandemik Covid-19, sekarang banjir pula. Seperti satu demi satu bencana datang menimpa,” ujarnya kepada The Malaysian Insight.

Persatuan Pekedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur pula berkata semua peralatan dan stok di kedai musnah sama sekali selepas ditenggelami banjir.

“Air botol dan makanan dalam tin masih boleh lagi diselamatkan, tetapi kalau bahan seperti tepung dan gula memang tidak lah,” kata presidennya Lee Chow Kit.

Premis kedai kopi di Cheras dan Kinrara di Puchong yang paling teruk terjejas akibat banjir, tambahnya.

Menurut Lee, seingatnya, kejadian banjir di Selangor kali ini adalah yang terburuk melanda negeri itu.

Hujan berterusan sejak Jumaat minggu lepas menyebabkan banjir buruk yang menjejaskan banyak negeri di Semenanjung sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 39 nyawa setakat semalam. 

Selangor dan Pahang yang paling kritikal dilanda bencana itu. – 24 Disember, 2021.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen