PM arah adakan sidang media harian Ops Banjir


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah mengarahkan semua agensi terlibat dengan bencana banjir untuk membuat laporan harian mulai hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Disember, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan kesemua agensi yang terlibat dengan bencana banjir untuk mengadakan sidang media harian Ops Banjir.

Ismail Sabri melalui catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini berkata sidang media itu bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana.

“Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri,” katanya.

Dalam rajutan berkaitan di laman Twitter pula, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.

Beliau menyenaraikan urutan sidang media yang akan dimulakan oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani pada 10 pagi dan diikuti oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Affendi Buang pada 12 tengah hari.

Pada 2 petang pula oleh Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid serta Ketua Pengarah NADMA Aminuddin Hassim pada 4 petang.

“Saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara,” katanya.

Dalam rajutan itu, Ismail Sabri berkata penglibatan daripada seluruh barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana berkenaan harus berada di tahap sentiasa bersedia. – Bernama, 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen