Kekuatan bomba tumpu Pahang, Selangor, kata KP


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid menafikan pasukannya pilih kasih untuk selamatkan mangsa banjir, namun mengakui lewat jalankan tanggungjawab. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Disember, 2021.

SEJUMLAH besar anggota pasukan bomba kini digerakkan ke negeri Selangor dan Pahang yang paling kritikal akibat banjir buruk, kata ketua pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, daripada tempoh siap siaga, sejumlah 4,784 anggota bomba sepenuh masa, 841 anggota bomba bantuan, dan seramai 257 anggota bomba sukarela ditugaskan membantu.

“Angka yang besar ditempatkan di Selangor dan Pahang, kira-kira 50 peratus daripada jumlah tadi.

“Negeri lain kita laksanakan juga pantauan tapi jumlahnya tak sebesar Selangor dan Pahang memandangkan dua negeri ini kritikal,” katanya.

Tambahnya, setakat ini jabatan bomba merekodkan laporan orang hilang setakat pukul 12 tengahari ini akibat banjir yang semakin memburuk di Pahang.

Hamdan berkata, operasi mencari dan menyelamat pasukan tertumpu di Bentong yang melibatkan empat kes dan Raub, Temerloh, dan Pekan yang masing-masing merekodkan satu kes orang hilang.

Beliau berkata, paras air di tujuh sungai di Pahang juga bahaya iaitu Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Jelai, Sungai Triang, Sungai Rompin, Sungai Kuantan, dan Sungai Selat. 

Empat daerah di Pahang juga menunjukkan peningkatan kes banjir iaitu Bera, Maran, Temerloh, dan Mentakab, katanya.

Di Selangor pula, Hamdan berkata, Sungai Klang sedang dipantau kerana dikhuatiri berlaku peningkatan paras air.

Tambahnya, bomba berusaha menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa mangsa banjir yang terkandas tanpa mengira latar belakang, kata ketua pengarah jabatan itu 

Beliau menafikan pasukan itu mengamalkan pilih kasih dalam usaha menyelamat namun mengakui berlaku kelewatan dalam menjalankan tenggungjawab tersebut.

“Bantuan mencari, menyelamat, dan bantuan beri makanan ini kita buat untuk semua orang, tiada pilih kasih.

“Pendatang asing pun kita pikul dari dalam ladang. Kita tahu nyawa mereka berharga, apatah lagi rakyat Malaysia, kita sentiasa cuba sedaya upaya.

“Kita tak nafi ada kelewatan, yang terlepas,” kata Hamdan dalam sidang media di Bilik Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.

Hamdan berkata, pasukan bomba menyedari berlaku kelewatan dalam operasi menyelamat terutamanya di kawasan Sri Muda, antara kawasan terjejas teruk di Selangor.

Katanya, ia meliputi kawasan yang begitu luas dan beliau tidak menafikan pasukan itu terlepas daripada menyelamatkan mangsa

“Kawasan Sri Muda kawasan begitu luas, air mendadak naik.

“Apabila kita respon guna logistik sedia ada, kita tak nafikan mungkin ada mangsa lambat diselamatkan kerana kita masih beroperasi di tempat lain.

“Ada yang terlepas kerana bila kita pergi rumah nampak kosong tapi dia ada di dalam, rumah berkunci, kita ke tempat yang lebih kritikal,” katanya.

Selain itu, ada mangsa yang enggan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana khuatir penularan wabak Covid-19, tambahnya.

“Kalau tak mahu pindah kita pastikan keselamatan mereka terjamin, kita bawa makanan dan barang keperluan. 

“Kami cuba sebaik mungkin dari hari pertama hingga hari ini. Mungkin tak sempurna tapi kami cuba sehabis baik,” kata Hamdan lagi. – 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen