KIRA-KIRA 13 juta penduduk Xi’an kini berada dalam perintah sekatan yang ketat mulai hari ini bagi membendung penularan Covid-19 ketika kerajaan berusaha mengekalkan sasaran sifar kes menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk tahun depan.
Xi’an, wilayah terkenal dengan monumen sejarah Tentera Terracotta menguatkuasakan perintah sekatan pergerakan secara drastik dengan mengarahkan penduduk tidak keluar rumah selepas beberapa ratus jangkitan dilaporkan baru-baru ini.
Beijing ketika ini bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 pada Februari, menyebabkan China berada dalam keadaan berjaga-jaga dan memerangi virus itu di beberapa bandar.
Bagaimanapun, kes semakin meningkat beberapa minggu sejak kebelakangan ini.
Xi’an merekodkan 63 kes jangkitan lagi hari ini, beberapa hari selepas pihak berkuasa memulakan ujian saringan besar-besaran terhadap semua 13 juta penduduk.
Kes dari Xi’an setakat ini merebak ke lima bandar lain, menurut media kerajaan, termasuk satu dikesan di Beijing dan di selatan Guangdong, sekali gus mencetuskan kebimbangan virus pantas merebak secara geografi ke seluruh negara.
Sejak malam tadi, hanya seorang ahli keluarga boleh keluar setiap dua hari sekali untuk membeli barang keperluan manakala yang lain diarahkan kekal berada di dalam rumah kecuali kecemasan.
Penduduk dilarang keluar bandar dan sesiapa yang ingin keluar perlu memohon kelulusan pihak berkuasa, sementara perniagaan tidak penting diarah ditutup.
Kerajaan turut melarang semua mesyuarat berskala besar diadakan sementara muzium Tentera Terracotta ditutup.
Timbalan Perdana Menteri Sun Chunlan melawat Xi’an beberapa hari sebelum sekatan dilaksanakan dan memberi amaran keadaan itu buruk dan rumit. – AFP, 23 Disember, 2021.
Komen