4 mangsa letupan mercun Thaipusam stabil


Dalam kejadian 8.30 malam berdekatan Kuil Dewa Subramaniya Swami di Sungai Petani itu, 26 individu cedera, melibatkan 14 lelaki dan 12 wanita berusia antara lima dan 59 tahun dengan empat daripada mereka dimasukkan ke wad HSAH untuk rawatan lanjut manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Febuari, 2018.

EMPAT individu yang dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, selepas cedera akibat kejadian letupan mercun ketika perarakan sambutan Thaipusam malam tadi, berada dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Norhizan Ismail berkata dua mangsa kini dirawat di wad mata kerana mengalami kecederaan pada bahagian mata iaitu “corneal abrasion” manakala dua lagi mangsa masing-masing dijadual menjalani pembedahan berikutan kecederaan dialami mereka.

“Seorang mangsa dimasukkan ke wad ortopedik kerana terdapat kecederaan di tangan kanan dengan pembedahan membuang bendasing akan dijalankan manakala seorang lagi terdapat luka di tangan kanan dan akan menjalani pembedahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian 8.30 malam berdekatan Kuil Dewa Subramaniya Swami di Sungai Petani itu, 26 individu cedera, melibatkan 14 lelaki dan 12 wanita berusia antara lima dan 59 tahun dengan empat daripada mereka dimasukkan ke wad HSAH untuk rawatan lanjut manakala selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid dalam satu kenyataan sebelum ini, memaklumkan empat lelaki berusia 25 hingga 34 tahun direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – Bernama, 2 Febuari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen