Polis akui lewat selaras agensi untuk bantu mangsa banjir


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pihak polis berkata situasi banjir di Shah Alam berbeza dengan Pantai Timur kerana penempatan dan kepadatan penduduk di kawasan banjir yang lebih rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2021.

POLIS mengakui berlaku kelewatan dalam penyelarasan antara agensi dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa sejak hari pertama bencana banjir berlaku di Sri Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kelewatan operasi peringkat awal itu antara lain disebabkan kepadatan penduduk.

Menurutnya, situasi ini berbeza dengan Pantai Timur kerana penempatan dan kepadatan penduduk di kawasan banjir yang lebih rendah.

“Saya lihat dalam insiden banjir di Shah Alam, memang koordinasi semua organisasi agak perlahan pada peringkat awal. Namun selepas hari kedua, kami telah gerakkan semua agensi.

“Di Shah Alam kebanyakan mangsa banjir tinggal di rumah teres dan pangsa yang mana kepadatan penduduknya berbeza daripada di Kelantan, Pahang dan Terengganu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita, proses pemindahan berlaku dengan mudah di negeri-negeri tersebut kerana faktor lokasi, penempatan dan kepadatan penduduk.

Bagaimanapun, koordinasi semua agensi segera digerakkan sebaik mangsa banjir di Taman Sri Muda mulai meningkat, katanya dalam sidang media di Sri Muda, Shah Alam.

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 66,015 anggota keselamatan pelbagai agensi ditugaskan di tujuh negeri dilanda banjir.

Ia terdiri dariapda Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan, katanya.

Dalam perkembangan lain, Acryl turut mengucapkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk dan orang awam yang membantu mangsa banjir.

“Kami semua agensi kerajaan sangat terhutang budi kepada semua NGO dan persatuan penduduk yang aktif membantu mangsa banjir.

“Mereka adalah wira yang tidak didendang, bekerja hulurkan bantuan tanpa mendabik dada. Kami sangat hargai usaha murni anda.

“Saya berharap anda akan terus membantu agensi kerajaan dalam keadaan bencana seperti ini,” katanya. – 23 Disember, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen