BEBERAPA lagi mayat ditemui anggota penyelamat susulan tragedi kapal karam pada awal minggu ini, menurut Agensi Pelabuhan Maritim dan Sungai (APMF) Madagascar semalam.
“Sejak 20 Disember hingga hari ini, sebanyak 133 mangsa daripada 138 penumpang kapal MS Francia II telah ditemukan, 50 berjaya diselamatkan, 83 maut, lima masih hilang,” tulis APMF di media sosial, lapor Agensi Anadolu.
Kapal yang dalam perjalanan dari bandar Mananara Nord menuju ke Soanieranana Ivongo terbalik selepas mengalami kerosakan, menurut agensi pelabuhan itu sambil menambah operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
Sementara itu, sebuah helikopter terhempas ketika membawa delegasi pihak berkuasa untuk melawat lokasi nahas kapal tersebut.
Mayat Pengarah Keselamatan Pejabat Perdana Menteri Kolonel Andrianambinina Olivier ditemui di Fenerive East manakala dua lagi pegawai tentera dilaporkan selamat, menurut Kementerian Pertahanan Madagascar.
Presiden Andry Rajoelina amat sedih dengan kejadian itu dan mengisytiharkan 23 Disember sebagai hari perkabungan negara. – Bernama, 23 Disember, 2021.
Komen