LIMA lagi kes kematian dikenalpasti menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 37 kematian berkaitan bencana banjir di tujuh negeri setakat ini, menurut polis.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata lima kes terbaru itu membabitkan empat dewasa dan seorang kanak-kanak.
Katanya, dua mangsa dilaporkan masih hilang semalam, menjadikan secara keseluruhan sebanyak 10 kes hilang akibat bencana banjir sudah direkodkan.
Selain itu katanya seramai 68,341 mangsa banjir membabitkan 18,080 keluarga ditempatkan di 396 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri yang terkesan bencana itu.
“Semua mangsa banjir yang meninggal dunia akan dibedah siasat bagi mengenal punca sebenar kematian mereka.
“Setakat ini, kita belum terima laporan dan saya percaya ia masih dalam proses bedah siasat. Kalau perlu dimaklumkan (punca kematian), kita akan beri penerangan mengenainya selepas ini,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan statistik kematian akibat banjir dikeluarkan oleh setiap agensi keselamatan, katanya polis merekod kematian berdasarkan laporan ahli keluarga atau waris.
“Untuk PDRM, setiap kematian perlu dilaporkan dan kertas siasatan akan dibuka sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita di Sri Muda, Shah Alam antara kawasan paling teruk terjejas banjir besar ekoran hujan lebat sejak hujung minggu lalu. – 23 Disember, 2021.
MENYUSUL
Komen