SEORANG lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel dalam kejadian satu tembakan semalam, kata tentera dan Kementerian Kesihatan Palestin.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata Mohammed Issa Abbas, 26, meninggal dunia akibat ditembak selepas kenderaan dinaikinya diserang tentera Israel di kem pelarian al-Amari di Ramallah.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata tenteranya memasuki kawasan itu untuk mencari suspek yang dikesan menghampiri komunit Psagot. Psagot ialah komuniti peneroka Yahudi di Tebing Barat.
Ketika tentera mencari suspek seorang penyerang melepaskan tembakan ke arah pasukan dari kenderaan yang lalu-lalang. Tentera bertindak balas dengan tembakan dan terkena penyerang berkenaan, kata tentera.
Mereka menambah tiada tentera yang cedera dalam insiden itu yang diikuti dengan rusuhan yang turut disertai berpuluh-puluh rakyat Palestin mengelilingi tentera yang bertindak balas bagi menyuraikan rusuhan.
Insiden maut itu berlaku di tengah-tengah peningkatan keganasan di Tebing Barat yang diduduki oleh tentera Israel sejak Perang Enam Hari 1967.
Pada Selasa seorang lelaki Palestin yang cuba merempuh tentera Israel dengan keretanya di utara Tebing Barat ditembak mati oleh tentera.
Pada Ahad tentera berkata mereka menahan empat lelaki Palestin yang disyaki menembak mati seorang lelaki Yahudi dan mencederakan yang lain dalam serangan di Tebing Barat Khamis lalu.
Pada Sabtu polis sempadan Israel menahan seorang wanita Palestin berusia 65 tahun di Hebron selepas dia didakwa menikam dan mencederakan seorang lelaki Israel.
Tebing Barat merupakan rumah kepada hampir 500,000 peneroka Yahudi yang tinggal dalam komuniti yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Terdapat beberapa insiden dalam beberapa minggu kebelakangan ini di mana peneroka menyerang rakyat Palestin termasuk dengan batu dan senjata lain. – AFP, 23 Disember, 2021.
Komen