Biden lanjut moratorium pinjaman pelajar


Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata lanjutan moratorium pinjaman pelajar bantu mereka yang terkesan akibat pandemik. – Gambar EPA, 23 Disember, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman pelajar selama tiga bulan tambahan sehingga 1 Mei 2022.

Langkah itu dijangka memberi kesan kepada hutang pelajar kira-kira 41 juta.

“Kami tahu berjuta-juta peminjam pinjaman pelajar masih berdepan kesan pandemik dan memerlukan sedikit masa lagi sebelum meneruskan pembayaran,” kata Biden dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.

“Hari ini pentadbiran saya melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman pelajar untuk tambahan 90 hari sehingga 1 Mei 2022 di samping kami menguruskan wabak yang sedang berlaku dan mengukuhkan lagi pemulihan ekonomi kami,” katanya.

Langkah itu dibuat hanya beberapa hari selepas harapan pudar untuk kelulusan Senat rang undang-undang perbelanjaan sosial besar-besaran Biden.

Presiden tidak dapat memperoleh majoriti Senat untuk rancangannya “Build Back Better” bernilai AS$1.7 trilion yang akan menangani isu-isu seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan perubahan iklim.

Apabila memegang jawatan pada Januari 2021 Biden mengarahkan Jabatan Pendidikan untuk melanjutkan pembayaran balik pinjaman pelajar persekutuan sehingga September. Beliau kemudian melanjutkan pembayaran sehingga 31 Januari 2022. – AFP, 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen