PENGAWAL selia Britain semalam meluluskan vaksin Covid-19 Pfizer untuk digunakan pada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun susulan negara itu melaporkan lebih 100,000 kes harian baharu buat kali pertama apabila Omicron melonjak.
Agensi Pengawalseliaan Ubat dan Produk Penjagaan Kesihatan (MHRA) Britain berkata mereka meluluskan rumusan baharu dos rendah bagi suntikan Pfizer-BioNTech selepas mendapati ia “selamat dan berkesan” untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Ketua Eksekutif MHRA June Raine berkata terdapat “bukti kukuh untuk menyokong risiko manfaat positif untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur ini”.
“Majoriti besar” kesan sampingan yang dilaporkan daripada dua suntikan “sesuai dengan umur” yang berkaitan dengan gejala ringan seperti sakit lengan atau selsema, tambahnya.
Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi yang menasihati Jabatan Kesihatan UK mengenai imunisasi berkata mereka kini menyarankan kursus utama vaksinasi ditawarkan kepada beberapa golongan umur.
Britain kini giat mempromosikan kempen dos penggalak kerana cuba meminimumkan kesan peningkatan jangkitan Omicon.
Pada Rabu negara itu melepasi 30 juta dos ketiga yang diberikan kerana ia bertujuan menawarkan suntikan tambahan kepada golongan dewasa sebelum akhir tahun ini. – AFP, 23 Disember, 2021.
Komen