China, Jepun perlu perkasa kerjasama pasca pandemik


Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata usaha bersama China dan Jepun perlu dilakukan bagi menangani pelbagai cabaran, termasuk perubahan iklim. – Gambar EPA, 23 Disember, 2021.

CHINA dan Jepun perlu memperkasa kerjasama dan pertukaran dalam era pasca pandemik Covid-19 bagi menyuntik momentum baharu kepada perkembangan hubungan bilateral.

Konsensus itu dicapai dalam dialog usahawan dan bekas pegawai kanan China-Jepun pusingan ketujuh yang berlangsung secara maya, pada Selasa.

Menurut Pengerusi Pusat Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China (CCIEE), Zeng Peiyan, hubungan ekonomi dan perdagangan China-Jepun terus dipertingkat walaupun dilanda pandemik Covid-19, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi dunia.

Ketika menyampaikan ucapannya pada dialog itu, beliau berkata China dan Jepun saling melengkapi serta mempunyai kepentingan bersama dalam bidang ekonomi.

“Kerjasama dua hala mempunyai potensi yang amat besar dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pembuatan canggih, ekonomi digital, usaha mesra alam, kesihatan dan penerokaan pasaran pihak ketiga.

“Mengambil peluang sempena sambutan jubli emas pemulihan hubungan China-Jepun pada tahun depan, kedua-dua pihak perlu bertindak sehaluan, berpegang pada prinsip empat dokumen politik penting bagi menghapuskan unsur negatif dan memperluas lagi kerjasama,” kata Zeng.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata landskap kerjasama saling untung antara kedua-dua negara tidak berubah, dan usaha bersama perlu dilakukan bagi menangani pelbagai cabaran, termasuk perubahan iklim.

Beliau berkata perubahan iklim antara agenda utama masyarakat antarabangsa, yang akan membawa banyak peluang baharu kepada perbelanjaan dan pasaran.

“Kedua-dua pihak diharap memacu kerjasama dalam sektor ekonomi, di samping mengadakan perbincangan mengenai bagaimana menyumbang kepada usaha masyarakat antarabangsa menangani perubahan iklim,” kata Kishida. 

Menurut statistik, jumlah dagangan antara China dan Jepun merekodkan AS$339.8 bilion dalam tempoh Januari hingga November, meningkat 18.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Sehingga penghujung Oktober, sebanyak 54,000 syarikat ditubuhkan di China dengan pelaburan Jepun. – Bernama, 23 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen