Kami hilang segala-galanya, kata mangsa Taufan Rai Filipina


Taufan Rai merempuh destinasi pelancongan popular di Bohol, FIlipina Khamis lepas, disertai hujan lebat, merobek bumbung, mencabut pokok dan menghancurkan bot nelayan. – Gambar EPA, 22 Disember, 2021.

CONCEPCION Tumanda melihat serpihan rumah berlumuran lumpur di pulau Filipina yang musnah akibat Taufan Rai, menyebabkan ratusan maut dan mangsa terselamat merayu bantuan air dan makanan.

Rai merempuh destinasi pelancongan popular di Bohol pada Khamis lepas, disertai hujan lebat, merobek bumbung, mencabut pokok dan menghancurkan bot nelayan.

“Rumah sudah musnah, semuanya rosak,” kata Tumanda kepada AFP, menangis ketika dia berdiri di runtuhan rumahnya di bandar tepi sungai Loboc.

“Kami sudah tidak ada apa-apa lagi.”

Bohol yang terkenal dengan tempat menyelamnya dan “Bukit Coklat” merupakan salah satu pulau yang paling teruk terjejas selepas Rai melanda perkampungan sehingga menyebabkan penduduk berebut lari duduk di atas bumbung rumah.

Duterte mengisytiharkan keadaan bencana darurat di kawasan yang dilanda taufan, di mana sekurang-kurangnya 375 orang terbunuh, menyalurkan dana untuk usaha bantuan dan memberi kuasa kepada pegawai tempatan untuk mengawal harga. – Gambar EPA, 22 Disember, 2021.

Sekurang-kurangnya 98 orang maut, kata Gabenor Arthur Yap di Facebook. 16 lagi masih hilang.

Yap merayu Presiden Rodrigo Duterte menghantar bantuan untuk membeli makanan dan air untuk penduduk yang terdesak selepas bekalan elektrik dan komunikasi terputus di seluruh pulau itu.

“Kami memerlukan makanan, terutamanya beras, dan air,” kata Giselle Toledo, yang rumahnya dihanyutkan air banjir.

“Kami tidak dapat selamatkan apa-apa. Kami tidak tahu di mana untuk mulakan hidup kami semula.”

Taufan Rai juga menyebabkan kemusnahan meluas di pulau Siargao, Dinagat dan Mindanao, yang menanggung beban ribut, membawa angin berkelajuan 195 kilometer sejam.

Duterte mengisytiharkan keadaan bencana darurat di kawasan yang dilanda taufan, di mana sekurang-kurangnya 375 orang terbunuh, menyalurkan dana untuk usaha bantuan dan memberi kuasa kepada pegawai tempatan untuk mengawal harga.

Tentera telah mengerahkan kapal, bot, pesawat dan trak untuk menghantar makanan, air minuman dan bekalan perubatan kepada mangsa yang terselamat.

Palang Merah juga mengedarkan bantuan, dan senarai kerajaan asing yang semakin meningkat telah menjanjikan bantuan kewangan berjuta-juta dolar.

Tetapi pegawai tempatan dan penduduk mengadu ia tidak tiba cukup cepat.

“Tolong percepatkan bantuan, itu satu-satunya harapan kami kerana kami tidak mempunyai apa-apa lagi,” kata seorang pekerja di sebuah restoran terapung di sungai Loboc yang musnah dilanda ribut. – AFP, 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen