Inflasi pecah rekod, Sri Lanka mungkin catu makanan


Pasar raya telah mencatu susu tepung, gula, dan keperluan lain sejak berbulan-bulan lalu selepas bank komersil kehabisan dolar untuk membiayai barang luar. – Gambar EPA, 22 Disember, 2021.

INFLASI Sri Lanka mencecah rekod 11.1 peratus pada November, menurut angka rasmi pada Rabu, ketika pihak berkuasa memberi amaran krisis ekonomi yang semakin teruk boleh mendorong catuan makanan selanjutnya.

Ekonomi pulau yang bergantung kepada pelancongan itu terjejas oleh pandemik Covid-19, malah kerajaan mengenakan larangan import yang meluas untuk menambah rizab pertukaran asing, mencetuskan kekurangan barangan keperluan.

Pasar raya telah mencatu susu tepung, gula, dan keperluan lain sejak berbulan-bulan lalu selepas bank komersil kehabisan dolar untuk membiayai barang luar.

Kekurangan itu juga meningkatkan harga, dengan kos makanan meningkat 17 peratus berbanding setahun lalu menurut jabatan banci dan statistik Sri Lanka.

Angka inflasi ini yang tertinggi sejak jabatan itu melancarkan Indeks Harga Pengguna Nasional (NCPI) pada 2015.

Pihak berkuasa mungkin perlu mengenakan catuan makanan tambahan dan mendapatkan bantuan luar bagi membantu memberi makan kepada yang paling memerlukan, kata setiausaha kementerian pertanian Udith Jayasinghe kepada pemberita.

“Kita mungkin terpaksa pinjam bijirin seperti jagung dari negara jiran dan memikirkan untuk mencatu makanan supaya ibu dan orang sakit dapat diberi makan,” katanya.

“Orang lain mungkin perlu berkorban.”

Kekurangan makanan diburukkan lagi oleh larangan kerajaan terhadap import agrokimia, yang ditarik balik bulan lalu selepas kegagalan penanaman.

Sri Lanka mempunyai rizab asing hanya AS$1.58 bilion pada akhir November, turun daripada AS$7.5 bilion ketika Presiden Gotabaya Rajapaksa mengambil alih jawatan pada 2019. – AFP, 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen