KERAJAAN Kemboja meluluskan undang-undang lese majeste negara itu yang pertama hari ini yang membolehkan hukuman penjara sehingga lima tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah menghina raja, tindakan yang dianggap kumpulan hak asasi boleh digunakan untuk menekan pengkritik negara itu.
Tidak seperti negara jirannya Thailand yang penghinaan kepada raja boleh menyebabkan pesalah meringkuk berdekad lamanya di penjara, monarki Kemboja yang lebih bersifat simbolik sehingga kini tidak dilindungi daripada kritikan.
Undang-undang itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan oleh Perdana Menteri Hun Sen, seorang pemimpin autokratik yang mahu melanjutkan penggalnya pada pilihan raya Julai depan selepas memansuhkan pembangkang dan menyebabkan ramai pengkritiknya melarikan diri.
Undang-undang baru itu yang mengharamkan penghinaan kepada Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni ditambah ke dalam kanun jenayah untuk “menjunjung dan melindungi reputasi dan nama diraja,” kata jurucakap kerajaan Phay Siphan dalam catatan di Facebook.
“Menghina raja boleh dihukum antara setahun hingga lima tahun penjara” termasuk AS$2,500 denda, tulisnya.
Kuasa diraja Kemboja kurang mendadak sejak pentadbiran Hun Sen yang mengawal ketat negara itu sepanjang pemerintahannya selama 33 tahun.
Raja Sihamoni yang menaiki takhta pada 2004, dianggap sebagai simbol ketua negara dengan sikap pendiamnya serta kehidupan sederhana berbeza dengan ayahnya yang sentiasa bertelagah dengan kerajaan.
Raja Sihamoni dihormati ramai rakyat Kemboja dan dianggap berada pada kedudukan lebih tinggi berbanding politikus.
Tetapi pejuang hak asasi memberi amaran yang undang-undang lese majeste itu mungkin akan digunakan sebagai senjata politik dalam negara yang Hun Sen didakwa seringkali mencampuri urusan mahkamah.
Pembangkang, Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) dibubarkan oleh mahkamah pada November.
Kumpulan hak asasi dan demokrasi Barat menyelar keputusan itu sebagai usaha terakhir Hun Sen untuk melenyapkan semua musuh politiknya menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung Julai nanti.
Ramai pemimpin kanan CNRP melarikan diri ke luar negara, dan pemimpin utamanya Kem Sokha sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan “mengkhianat”.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah telah menarik balik sokongan ke atas pilihan raya itu. – AFP, 2 Febuari, 2018.
Komen