Firma Rusia mulakan pembinaan loji janakuasa nuklear di India


Firma nuklear Rusia Rosatom memulakan pembinaan unit baharu di stesen janakuasa nuklear Kudankulam, di Tamil Nadu, India. – Gambar fail EPA, 22 Disember, 2021.

FIRMA nuklear Rusia Rosatom memulakan pembinaan unit baharu di stesen janakuasa nuklear Kudankulam, di Tamil Nadu, India.

Pembinaan Unit 6 Kudankulam itu dirasmikan pada Isnin, menurut Rosatom.

Dua unit pertama di kompleks tenaga nuklear terbesar negara, berdasarkan teknologi VVER-1000, sudah pun beroperasi secara komersial.

Pada 2017 Atomstroyexport agensi di bawah Rosatom dan Nuclear Power Corporation of India Ltd (NPCIL) menandatangani perjanjian untuk membangunkan unit 5 dan 6 loji kuasa nuklear (NPP) Kudankulam.

“Operasi dua unit kuasa NPP pertama telah menunjukkan tahap kuasa nominal. Fasa kedua unit kuasa itu sedang dibina melibatkan kerja-kerja di Unit 3 untuk menyediakan pemasangan bejana tekanan reaktor.

“Pada Jun tahun ini, konkrit pertama diletakkan di unit kuasa 5 dan pada 20 Dis konkrit pertama dilancarkan di unit kuasa 6,” kata eksekutif Rosatom Andrey Lebedev.

Untuk projek Kudankulam unit 6 ia merupakan satu lagi kerjasama tenaga nuklear Rusia-India untuk membina loji yang lebih maju.

Kapasiti tenaga nuklear India ketika ini adalah sebanyak 6,780 megawatt (MW) dijangka meningkat kepada 22,480 MW menjelang 2031, menurut kerajaan. – Bernama, 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen