ANGKA kematian akibat tindakan keras terhadap penunjuk perasaan di Sudan pada Ahad lepas meningkat kepada dua orang, kata pegawai perubatan hari ini.
Manakala kementerian kerajaan berkata dua wanita dirogol dalam kejadian berkenaan.
Pada Isnin pegawai perubatan melaporkan kematian pertama akibat ditembak dalam keganasan pada hari sebelumnya manakala kementerian kesihatan melaporkan 125 penunjuk perasaan cedera kebanyakannya akibat terhidu gas pemedih mata.
Pasukan keselamatan bertindak keras pada Ahad lepas ketika ratusan ribu berarak melakukan demonstrasi besar-besar yang membawa kepada penyingkiran orang kuat veteran Omar al-Bashir.
Penunjuk perasaan berhimpun menentang ketua tentera negara timur laut Afrika itu Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang mengetuai rampasan kuasa pada 25 Oktober.
Di seluruh negara sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dalam pertempuran jalanan dalam tempoh dua bulan lalu, menurut jawatankuasa itu.
Dalam satu kenyataan PBB berkata mereka sudah mendokumenkan 13 insiden rogol pada Ahad.
“Pejabat Hak Asasi Manusia Bersama kami di Sudan telah menerima dakwaan 13 wanita menjadi mangsa rogol atau rogol berkumpulan,” kata Liz Throssell, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Geneva.
“Kami juga menerima dakwaan gangguan seksual oleh pasukan keselamatan terhadap wanita yang cuba melarikan diri dari kawasan sekitar Istana Presiden pada petang Ahad,” tambahnya dalam kenyataan semalam.
PBB menggesa siasatan segera, bebas dan teliti terhadap dakwaan rogol serta gangguan seksual dan dakwaan kematian serta kecederaan penunjuk perasaan akibat daripada penggunaan kekerasan yang tidak perlu atau tidak seimbang khususnya penggunaan peluru hidup.
Tentera pada Isnin menegaskan dalam satu kenyataan mereka menyokong pilihan raya bebas dan adil pada 2023.
Bagaimanapun Forces for Freedom dan Change, kumpulan yang mengetuai protes terhadap Bashir menggesa lebih banyak demonstrasi pada 25 dan 30 Disember. – AFP, 22 Disember, 2021.
Komen