Penduduk Pelastin maut ditembak tentera Israel


Tentera Israel menembak mati seorang penduduk Palestin yang cuba merempuh mereka dengan keretanya di Tebing Barat semalam. – Gambar EPA, 22 Disember, 2021.

SEORANG penduduk Palestin maut ditembak tentera Israel ketika cuba merempuh mereka dengan keretanya di Tebing Barat semalam.

Lelaki itu merempuh keretanya ke arah jip tentera selepas ditembak menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Tentera di lokasi bertindak menghentikan penyerang dengan melepaskan tembakan ke arah kenderaan itu.

“Kenderaan itu kemudian merempuh kenderaan tentera berdekatan pos kawal yang mengakibatkan kedua-keduanya terbakar,” katanya.

Kementerian kesihatan Palestin kemudiannya mengumumkan kematian seorang “warganegara”.

Pada Ahad tentera Israel berkata mereka menangkap empat lelaki Palestin yang disyaki menembak mati seorang peneroka Yahudi dan mencederakan dua yang lain dalam serangan di Tebing Barat Khamis lalu.

Israel menawan Tebing Barat pada 1967 dari Jordan. Hampir 500,000 warga Israel berpindah ke penempatan di wilayah itu.

Pada Sabtu polis sempadan Israel menahan seorang wanita Palestin berusia 65 tahun di Hebron selepas dia didakwa menikam dan mencederakan seorang peneroka Israel.

Pada Jumaat peneroka Yahudi menyerbu perkampungan Burqah di utara Tebing Barat.

Seorang wartawan AFP melihat penyerang Israel melontar batu melalui tingkap rumah dan melepaskan tembakan.

Di selatan di perkampungan Qaryut seorang lelaki Palestin dimasukkan ke hospital selepas rakyat Israel menyerangnya di rumah, lapor agensi berita rasmi Palestin Wafa. Polis Israel berkata mereka sedang menyiasat kejadian itu. – AFP, 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen