160 pendatang maut di Libya dalam tempoh seminggu


Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) semalam berkata sekurang-kurangnya 160 pendatang lemas di luar pantai Libya selepas bot mereka karam sepanjang minggu lalu. – Gambar EPA, 22 Disember, 2021.

SEKURANG-KURANGNYA 160 pendatang lemas di luar pantai Libya selepas bot mereka karam sepanjang minggu lalu, kata Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) semalam.

“Sepanjang minggu lalu sekurang-kurangnya 160 nyawa terkorban di Mediterranean Tengah di luar pantai Libya,” kata Safa Msehli jurucakap agensi PBB yang berpangkalan di Geneva.

“Hampir 1,500 pendatang mati lemas di laluan ini tahun ini,” tulisnya di Twitter.

IOM berkata 466 pendatang dipintas atau diselamatkan di laut dan kembali ke Libya antara 12 dan 18 Disember.

Libya yang terlibat dalam perang saudara berikutan penggulingan dan pembunuhan diktator Moamer Kadhafi pada 2011 menjadi laluan utama bagi pendatang yang ingin ke Eropah untuk melarikan diri daripada kemiskinan dan konflik.

Di Maghribi media kerajaan berkata 352 pendatang berjaya dipintas di Mediterranean dan Atlantik dalam tempoh empat hari lalu.

Pendatang ini menaiki bot, kayak atau jet ski. Mereka termasuk 23 wanita dan sembilan kanak-kanak, kata agensi berita MAP memetik seorang pegawai tentera.

Selepas menerima pertolongan cemas di atas kapal tentera laut mereka dibawa ke pelabuhan Maghribi terdekat dan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Polis di Maghribi berkata pada Isnin mereka menahan lebih 12,200 pendatang tanpa izin yang berpotensi dan membongkar 150 rangkaian penyeludupan setakat tahun ini. – AFP, 22 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen