BANTUAN vaksin Covid-19 bukan sahaja mencerminkan kekukuhan perkongsian strategik komprehensif dan persahabatan China-Zimbabwe, tetapi juga meningkatkan keyakinan dan keazaman Zimbabwe untuk melawan wabak itu.
Demikian kata Naib Presiden merangkap Menteri Kesihatan Zimbabwe, Constantino Chiwenga pada majlis penyerahan satu lagi kumpulan bekalan vaksin yang disumbangkan kerajaan China pada Isnin.
“Dalam Persidangan Menteri-menteri Kelapan Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) bulan lepas, China berjanji terus menghulurkan bantuan vaksin Covid-19 kepada Afrika.
“Tindakan China yang mengutamakan rakyat ini akan memanfaatkan pemulihan aktiviti pengeluaran dan kehidupan masyarakat negara-negara Afrika, sekali gus membantu Zimbabwe merealisasikan Wawasan 2030,” ujar Chiwenga lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada China atas pelbagai sokongan dan bantuan sejak wabak Covid-19 menular.
“Kesemua bantuan itu mencerminkan China dan Zimbabwe akan sentiasa berganding bahu ke arah membentuk komuniti berkongsi nasib yang kukuh pada era baharu,” kata Chiwenga.
Turut hadir menyaksikan penyerahan vaksin tersebut, Duta China ke Zimbabwe, Guo Shaochun.
Menurut beliau, sumbangan vaksin itu memperlihatkan sikap China berpegang kepada janji untuk membantu Afrika melawan wabak Covid-19.
Jelas Guo, bantuan vaksin China kepada Afrika tidak akan berhenti selagi wabak Covid-19 tidak ditangani sepenuhnya. – Bernama, 22 Disember, 2021.
Komen