CHINA telah menyenaraihitamkan empat anggota suruhanjaya kebebasan beragama Amerika Syarikat (AS) pada Selasa sebagai tindak balas terbaharu terhadap sekatan Washington yang menyasarkan republik komunis itu.
Tindakan itu dibuat ketika Beijing turut mengecam Washington kerana melantik penyelaras khas baharu untuk Tibet selain mengecam kuasa global itu berhubung kritikan mereka terhadap pilihan raya tempatan di Hong Kong.
Layanan China terhadap warga Tibet, minoriti Muslim Uyghur di Xinjiang dan tindakan keras berterusan terhadap perbezaan pendapat di Hong Kong telah menyumbang kepada kemerosotan hubungan diplomatik antara kuasa Barat dan Beijing.
Xinjiang khususnya telah mendorong Washington mengenakan sekatan ke atas senarai ahli politik dan syarikat China serta pemboikotan diplomatik terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk, mencetuskan kemarahan Beijing.
Pada Selasa China mengumumkan sasaran terbaharu iaitu empat anggota Suruhanjaya Amerika Syarikat mengenai Kebebasan Beragama Antarabangsa (USCIRF).
Kementerian luar Beijing menamakan sekatan itu terpakai untuk pengerusi Nadine Maenza, naib pengerusi Nury Turkel, serta pesuruhjaya Anurima Bhargava dan James W. Carr.
“Langkah balas ini termasuk larangan orang yang disebutkan di atas daripada memasuki China dan pembekuan aset mereka di Tanah Besar China, Hong Kong dan Macau,” kata jurucakap Zhao Lijian kepada pemberita.
“Rakyat dan institusi China juga dilarang berurusan dengan orang-orang ini.”
Ditubuhkan pada 1998, USCIRF merupakan sebuah suruhanjaya persekutuan yang meninjau kebebasan beragama di seluruh dunia dan telah menjadi pengkritik lantang kepada layanan China terhadap Muslim Uighur, isu bipartisan yang jarang berlaku di Washington.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas AS melancarkan sekatan baharu ke atas Xinjiang termasuk larangan ke atas hampir semua import dari rantau itu.
Ia juga baru-baru ini telah menyenaraihitamkan syarikat China seperti pembuat dron DJI dan syarikat permulaan kecerdasan buatan SenseTime atas dakwaan kerja mereka dengan pihak berkuasa di Xinjiang. – AFP, 21 Disember, 2021.
Komen