Dr M dibenar keluar IJN tidak lama lagi


Alfian Z.M. Tahir

DR Mahathir Mohamad bersedia untuk dikeluarkan dari Institut Jantung Negara (IJN) dalam beberapa hari akan datang, kata pusat pakar jantung itu petang ini.

Para doktor berpuas hati dengan keputusan ujian yang dijalankan terhadap bekas perdana menteri berusia 96 tahun itu.

“Dr Mahathir telah menjalani semua pemeriksaan kesihatan yang diperlukan setelah dimasukkan ke IJN pada Khamis lalu.

“Pasukan doktor yang merawat Dr Mahathir berpuas hati dengan hasil pemeriksaan yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.”

“Beliau bersedia untuk discaj dalam beberapa hari akan datang,” kata IJN dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan jangkitan dada telah dimasukkan ke IJN minggu lepas untuk “pemeriksaan perubatan penuh dan pemerhatian lanjut”.

Pada Ogos 2016, beliau telah dimasukkan ke IJN untuk rawatan jangkitan dada.

Beliau juga dimasukkan untuk jangkitan dada pada November 2013.

Ahli Parlimen Langkawi itu mengalami serangan jantung pertamanya pada 1989, pada usia 64 tahun.

Dr Mahathir mengalami dua lagi serangan jantung pada 2006, dan setahun kemudian menjalani pembedahan pintasan empat kali ganda di IJN. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen