POLIS Tehran menahan 29 wanita kerana berada di ruang awam tanpa tudung ketika protes menentang kod pemakaian yang berkuatkuasa sejak Revolusi Islam di Iran semakin memuncak, lapor media negara itu hari ini.
Mereka yang ditahan didakwa melakukan kesalahan berkaitan kesejahteraan awam dan dirujuk kepada pejabat pendakwaraya negara itu, lapor agensi Fars, ILNA dan Tasnim tanpa penjelasan lanjut.
Ketua Pendakwaraya Mohammad Jafar Montazeri memperlekehkan protes itu pada Rabu, berkata ia “remeh” dan “keanak-anakan” yang mungkin dicetuskan pihak asing.
Dia ditanya mengenai seorang wanita yang ditahan awal minggu ini kerana berdiri di sebuah kotak di tepi jalan yang sibuk tanpa memakai tudung, sesuatu yang wajib dipakai wanita negara itu di tempat awam.
Imej 11 wanita yang melakukan protes sama juga dikongsi ramai dalam media sosial.
Seorang peguam hak asasi terkemuka memberitahu AFP pada Selasa yang salah seorang wanita ditahan ditetapkan ikat jamin sebanyak AS$100,000.
Montazeri berkata mereka yang melanggar peraturan hijab- yang memerlukan pemakaian tudung dan pakaian sopan- pastinya menerima galakan orang asing.
Tetapi pihak konservatif agama di Iran sendiri menyuarakan sokongan kepada protes itu, ramai mengatakan peraturan agama sepatutnya menjadi pilihan peribadi.
Sekurang-kurangnya dua gambar dikongsi di Twitter pada Rabu menunjukkan wanita berpakaian jubah hitam tradisional berdiri di atas kotak dengan papan tanda menyokong kebebasan pilihan wanita.
Satu papan tanda berbunyi: “Saya sukakan hijab saya tetapi menentang hijab wajib.”
Aktivis wanita Azar Mansouri, seorang ahli parti Bersatu Rakyat Islam Iran berkata cubaan mengawal pemakaian wanita sudah gagal berdekad lamanya.
Sejak beberapa tahun lepas, wanita mula melanggar peraturan pemakaian republik Islam itu dengan hanya memakai kain menutup rambut mereka dan tidak lagi berhijab sepenuhnya.
Polis moral yang sebelum ini menguatkuasakan peraturan itu dengan ketat semakin kurang melakukannya sejak Presiden Hassan Rouhani berkuasa pada 2013 yang menjanjikan kebebasan sivil yang lebih besar.
Protes bermula apabila seorang wanita berdiri di tepi Jalan Enghelab (Revolusi) di Tehran tanpa tudungnya dan mengibarkan selendang putih.
Dia dilaporkan ditahan selama sebulan dan sejak itu kurang menampilkan diri secara terbuka. – AFP, 2 Febuari, 2018.
Komen