Pilihan raya Hong Kong dikecam, ‘hakis’ demokrasi


Angka menunjukkan 30% pengundi keluar mengundi, kadar terendah sejak penyerahan semula Hong Kong kepada China pada 1997. – Gambar EPA, 21 Disember, 2021.

KUASA besar dunia mengecam tindakan China yang mengawal ketat pilihan raya Hong Kong yang disifatkan menghakis demokrasi di wilayah bekas jajahan British itu.

Tindakan China mengawal pilihan raya termasuk kerusi dipilih secara langsung dan mengawal siapa boleh menjadi calon dilaksanakan sebagai tindak balas kepada protes pro-demokrasi besar-besaran dua tahun lalu.

Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas wilayah bekas tanah jajahan British itu dengan melaksanakan peraturan politik yang memeriksa kesetiaan calon bertanding.

Undian awam pertama di bawah perintah baharu itu diadakan Ahad lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah manakala bilangan mereka yang dipilih secara langsung dikurangkan daripada separuh kepada 22%.

Angka menunjukkan 30% pengundi keluar mengundi, kadar terendah sejak penyerahan semula Hong Kong kepada China pada 1997.

Peratusan keluar mengundi pada pilihan raya pada 2016 ialah 58%, manakala pilihan raya majlis daerah 2019, yang menyaksikan tokoh pro-demokrasi menang besar, merekodkan 71%.

Menteri luar Kumpulan G7 dalam kalangan negara maju menyatakan kebimbangan terhadap penghakisan unsur demokrasi dalam sistem pilihan raya Hong Kong selepas tinjauan pendapat diadakan.

Proses tapisan baharu untuk menyekat pilihan calon pada kertas undi menjejaskan tahap autonomi Hong Kong yang tinggi mengikut prinsip “Satu Negara, Dua Sistem” yang dipersetujui dalam perjanjian penyerahan wilayah itu dari UK kepada China pada 1997.

Menteri luar Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, UK dan AS menggesa China memulihkan keyakinan terhadap institusi politik Hong Kong dan menamatkan penindasan yang tidak wajar terhadap mereka yang mempromosikan nilai demokrasi dan mempertahankan hak dan kebebasan. – AFP, 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen