PENGELUAR vaksin Amerika Syarikat (AS) Moderna yakin suntikan dos penggalak keluarannya berkesan terhadap varian Omicron selepas keputusan ujian makmal menunjukkan hasil meyakinkan.
Presiden Moderna Stephen Hoge dalam satu persidangan berkata pihaknya percaya boleh bergantung kepada vaksin ini untuk menangani lonjakan jangka pendek kes varian Omicron.
Bagaimanapun katanya, ujian menunjukkan selepas dua dos, vaksin Moderna memberikan perlindungan terhadap Omicron jauh lebih rendah berbanding strain awal Covid-19.
“Memberi dos penggalak juga menyediakan lebih banyak perlindungan antibodi terhadap Omicron,” menurut keputusan yang diumumkan.
Kajian makmal itu mengukur tahap antibodi peneutral Omicron dalam sampel darah daripada 40 individu yang mempunyai tahap rendah antibodi ini sebelum mendapat dos penggalak.
Ketika ini mereka yang menerima vaksin Moderna diberikan 100 mikrogram dos bagi suntikan pertama dan kedua untuk perlindungan daripada Covid-19, diikuti dengan dos penggalak sebanyak 50 mikrogram.
Antibodi diukur 29 hari selepas penerima suntikan penggalak mendapat dos ketiga, dengan separuh mendapat dos 50 mikrogram dan separuh mendapat 100 mikrogram.
Moderna berkata data awal menunjukkan tindak balas antibodi terhadap Omicron pada dos 50 mikrogram meningkat 37 kali ganda, tetapi apabila dos digandakan, tahap antibodi meningkat 83 kali ganda.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna Stephane Bancel berkata keputusan ujian itu meyakinkan, dan syarikat itu akan terus membangunkan dos khusus untuk Omicron.
Hoge berkata syarikat itu optimis dengan data yang dibentangkan itu bahawa dos penggalak yang dibenarkan 50 mikrogram dapat memberikan perlindungan yang baik, terhadap varian Omicron. – AFP, 21 Disember, 2021.
Komen