3 ahli Parlimen masih belum divaksin sepenuhnya, kata KKM


Chan Kok Leong

Sehingga 13 Disember hanya 219 (99.5%) daripada 220 ahli Parlimen sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 manakala hanya 588 (99.7%) daripada 560 Adun sudah divaksin sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2021.

SERAMAI tiga ahli Parlimen yang masih belum menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga 13 Disember hanya 219 (99.5%) daripada 220 ahli Parlimen sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 manakala hanya 588 (99.7%) daripada 560 Adun sudah divaksin sepenuhnya,” kata KKM dalam jawapan bertulis kepada Parlimen minggu lepas.

KKM berkata kementerian mengutamakan ahli Parlimen dan Adun dalam dua fasa pertama program vaksinasi Covid-19.

“Ahli Parlimen dan dua Adun yang belum melengkapkan vaksinasi mereka boleh pergi ke mana-mana PPV atau menghubungi klinik kesihatan daerah untuk mendapatkan janji temu mereka,” tambah KKM.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang sebab kenapa ketiga-tiga ahli Parlimen itu tidak diberi vaksin sepenuhnya. KKM juga tidak mendedahkan siapa ahli Parlimen berkenaan.

KKM juga tidak menyatakan sama ada ahli Parlimen yang tidak diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan menghadiri majlis sosial, ke premis perniagaan atau makan di restoran kerana mereka yang tidak divaksin sepenuhnya tidak dibenarkan berbuat demikian oleh kerajaan.

KKM menjawab soalan Wong Shu Qi (Kluang-PH) yang bertanyakan mengenai status ahli Parlimen dna Adun yang divaksin sepenuhnya di negara ini.

Pada Julai lalu Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata ahli Parlimen yang tidak divaksin dibenarkan menghadiri persidangan Parlimen.
 
“Semua ahli Parlimen dibenarkan hadir ke Parlimen walaupun mereka tidak diberi vaksin tetapi kita menasihatkan mereka yang tidak diberi vaksin supaya berhati-hati kerana kita tidak boleh menghalang mereka dari menjalankan tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen