KKM lapor kemasukan hospital akibat Covid-19 bawah 700 kes 


Hailey Chung Wee Kye

Seramai 672 pesakit dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 semalam yang menunjukkan angka penurunan berterusan selama lapan hari berturut-turut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2021.

KEMASUKAN ke hospital akibat Covid-19 menyaksikan penurunan berterusan dengan 672 pesakit dimasukkan semalam, lapor Kementerian Kesihatan.

Jumlah kemasukan yang direkodkan adalah dalam lingkungan 900 selama lapan hari berturut-turut sebelum ia menurun kepada 768 kemasukan pada Ahad lepas.

Menurut laman web CovidNow kadar penggunaan katil keseluruhan di negara ini kini pada 64.4%. Daripada jumlah itu hanya 29.3% dikaitkan dengan Covid-19 yang menyaksikan penurunan daripada 30.4% sebelumnya.

Lembah Klang terus mencatatkan kemasukan tertinggi dengan 181 kes. Kebanyakan kes berpusat di Selangor dengan 143 pesakit manakala Kuala Lumpur 22 dan Putrajaya 16.

Kadar penggunaan katil keseluruhan adalah pada 68.9% di Selangor termasuk pesakit bukan Covid-19.

Kemasukan kedua tertinggi ialah di Johor (158). Negeri lain yang mencatatkan bawah 100 ialah Sabah dengan 75, Kelantan (61), Sarawak (48) Terengganu (35), Perak (30), Negeri Sembilan (22), Kedah (16), Pahang (14), Pulau Pinang (12), Perlis and Melaka (10 each).

Labuan sekali lagi tiada kemasukan baharu. Sementara itu Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang mencatatkan penggunaan katil keseluruhan melebihi 80%.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata jumlah jangkitan baharu Covid-19 di negara ini menurun kepada 2,589 daripada 3,108 kes.

Lembah Klang menyumbang 596 kes dengan Selangor melaporkan 380 kes, Kuala Lumpur 186 dan Putrajaya 30.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (355), Kedah (277), Kelantan (249), Terengganu (232), Pulau Pinang (225), Pahang (168), Sabah (122), Perak (112), Negeri Sembilan (101), Melaka (88), Sarawak (36), Perlis (20) dan Labuan (8).

Sehingga tengah malam terdapat 52,218 kes aktif Covid-19 di Malaysia. Daripada jumlah ini 379 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 210 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Penggunaan ventilator keseluruhan di hospital adalah pada 37.4%. Sementara penghuniaan ICU berada pada 57.4% di mana 35.3% adalah kes koronavirus.

Seramai 44,201 pesakit dikuarantin di rumah, 3,872 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 3,766 di hospital. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen