KAEDAH penebukan benteng dan pengepaman air banjir akan dilaksana secepat mungkin oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS), bagi mengatasi masalah air genang yang sedang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam, berikutan banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Dr Abd Latiff Ahmad berkata 21 pam akan digunakan untuk mengalirkan air genang itu ke Sungai Klang.
“Lokasi tepat untuk penebukan benteng itu masih belum dimuktamadkan dan ia akan diputuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.
“Kerja penebukan sementara ini perlu dilaksanakan segera, kerana keadaan air genang dan sekiranya dibiarkan akan berlarutan sehingga dua minggu,” katanya pada sidang media khas di Cyberjaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Dr Aminuddin Hassim.
Mengenai insiden banjir di Taman Sri Muda, beliau berkata kira-kira 2,000 penduduk masih terperangkap, kerana enggan berpindah dari kawasan tersebut.
“Antara sebab mereka tak nak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), kerana risau dijangkiti wabak Covid-19.
“Kami akan terus membantu mereka yang enggan berpindah ini dengan cara menghulurkan bantuan makanan dan keperluan asas,” katanya. – Bernama, 20 Disember, 2021.
Komen