JUMLAH mangsa korban akibat banjir di Lembah Klang dan Pahang meningkat menjadi 11 orang manakala empat orang lagi dikhuatiri masih hilang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib mengesahkan dua lagi jasad dipercayai dua beranak menjadi mangsa korban terbaharu insiden banjir di Seksyen 25, Sri Muda, Shah Alam.
“Mangsa dipercayai berusia antara 70 dan 90 tahun. Mayat kedua-dua mangsa itu ditemui kira-kira jam 4 petang,” katanya.
Ia menjadikan jumlah mangsa korban di Selangor seramai sembilan orang termasuk seorang sukarelawan manakala seorang lagi dikhuatiri masih hilang dalam insiden banjir.

Di Sri Muda, enam mayat ditemui dan menurut Baharudin, identiti kesemua mangsa itu akan dimaklumkan selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh ahli keluarga.
“Kita masih belum mengenal pasti identiti mangsa, nanti kita akan maklumkan,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Nor Hisham Mohammad memberitahu, dua daripada sembilan mangsa dipercayai lemas di Dengkil, Sepang.
Ia melibatkan dua kes berasingan dan identiti mereka belum dikenal pasti, katanya.
Sementara itu, seorang pemandu lori ditemui lemas apabila kenderaan dinaiki ditenggelami banjir dalam kejadian di Simpang Desa Coalfield, pada Ahad.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa berusia 45 tahun itu dipercayai lemas dalam usaha menyelamatkan diri dalam lori yang dinaiki air secara tiba-tiba.
“Mayat mangsa ditemui jam 5.30 petang Ahad pada jarak lima meter dari lokasi dilaporkan tenggelam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan lain, Bomba Pahang menemui seorang mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohd Helmi Nazlan, 34.
Beliau didapati lemas ketika cuba meredah arus banjir berhampiran Kampung Cempaka, Kuantan, menurut pasukan itu.
Satu kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Pahang menyebut mayat mangsa dijumpai pada jam 7.15 pagi kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian.

Pada hari kejadian, mangsa bersama seorang rakan terkandas dan dihanyutkan oleh arus deras semasa cuba mengharungi banjir.
Mangsa didapati cuba berbuat demikian dengan menggunakan kereta Proton Exora ketika dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Pahang.
Menurut bomba, rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin belakang kereta tersebut.
Jenazah mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke hospital Tengku Ampuan Afzan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu di Bentong, bomba negeri Pahang sedang mengesan tiga pelancong tempatan yang hilang dikhuatiri akibat lemas kerana dibawa arus sungai.
Kes itu susulan banjir lumpur yang menghentam sebuah chalet di Bentong, pada Sabtu, kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Pahang Ismail Abdul Ghani.
Katanya, 32 lagi pelancong terdiri 24 orang dewasa dan selebihnya kanak-kanak berjaya diselamatkan.
“Sehingga sekarang masing-masing seorang lelaki, wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki hilang dibawa arus sungai,” katanya. – 20 Disember, 2021.
Komen