POLIS mengesahkan beberapa kedai serbaneka di kawasan terjejas banjir teruk di Sri Muda, Shah Alam didapati dipecah masuk.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian itu dan memberi jaminan keadaan di kawasan itu terkawal.
“Saya ingin mengesahkan beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka yang berlaku di Sri Muda khususnya di Seksyen 15 iaitu kawasan yang mengalami banjir teruk.
“Di antara kedai serbaneka yang terlibat adalah Mydin, KK Mart, 7-11 dan juga pasar raya Jimat.
“Untuk makluman kejadian dipercayai berlaku pada tengah hari, hari ni dalam lingkungan jam 1 tengah hari ke 2 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Ditanya sekiranya tindakan itu dilakukan penduduk yang terdesak untuk mendapatkan bekalan, Baharudin berkata, bantuan sudah dipohon daripada pihak kerajaan negeri.
Badan bukan kerajaan (NGO) juga banyak membantu di kawasan itu, katanya yang menambah beberapa elemen cegah jenayah digerakkan ke lokasi kejadian.
Selain itu, pasukannya mendapat bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digerakkan untuk membuat pencegahan jenayah bagi mengelak kejadian pecah kedai.
Beliau bagaimanapun mengakui kawasan itu sukar diakses kerana masih digenangi air banjir.
“Susah nak ke lokasi… Keadaan air masih dalam, hingga ke paras pinggang. Susah juga pemilik hendak ke lokasi,” katanya.
Katanya, setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian ini dan ingin menyeru pihak berkenaan membuat laporan polis di mana-mana balai polis.
__full.jpeg)
Ramai mangsa di Sri Muda terperangkap di atas bumbung rumah apabila paras air naik mendadak sejak Sabtu.
Merayu terpaksa merayu bantuan melalui media sosial selepas tidak berjaya mendapatkannya melalui saluran rasmi kerajaan.
The Malaysian Insight menyaksikan sekurang-kurangnya 100 sukarelawan dilihat membantu penduduk tersebut dengan menyalurkan bantuan dan membawa mangsa ke kawasan selamat.
Wakil rakyat melihat kerajaan bertindak lemah dalam menggerakkan bantuan ke kawasan terbabit walaupun selepas arahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya ia disegerakan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, bantuan hanya diterima melalui orang perseorangan, NGO dan kumpulan agama.
Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar antaranya berkata, tiada pegawai dari jabatan kebajikan dilihat muncul untuk membantu mangsa.
Malah tiada sebarang agensi kerajaan tampil semasa operasi menyelamat, katanya. – 20 Disember, 2021.
Komen