PASARAN saham utama Eropah merosot semasa dibuka hari ini, mencerminkan kerugian besar di tempat lain ketika kerajaan berlumba-lumba untuk mengekang penyebaran varian Omicron.
Dalam dagangan awal, penanda aras FTSE 100 di London merosot 1.9% kepada 7,133.15 mata berbanding paras penutup pada Jumaat.
Di eurozone, Paris CAC 40 susut 2.1% kepada 6,782.16 mata dan DAX Frankfurt susut 2.4% kepada 15,154.44.
Ekonomi sedang terjejas susulan penularan pantas varian baharu Covid-19, Omicron Covid-19 yang memaksa kerajaan untuk melaksanakan semula langkah-langkah pembendungan dan perintah tinggal di rumah.
“Kerajaan di seluruh dunia meningkatkan sekatan untuk mengekang penyebaran varian Omicron,” kata penganalisis AvaTrade, Naeem Aslam.
“Sehingga landskap makroekonomi stabil, pelabur bertindak berhati-hati dan menarik diri… daripada pelaburan berisiko yang lebih positif dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi.”
Saham Asia dan harga minyak juga merosot pada Isnin berikutan kebimbangan mengenai lonjakan global baharu dalam jangkitan Covid-19 serta rang undang-undang perbelanjaan sosial besar-besaran Presiden AS Joe Biden ditolak Demokrat. – AFP, 20 Disember, 2021.
Komen